Ahad, 11 Januari 2015 | 9:23pm

Kanak-kanak perempuan maut terjatuh dalam sungai di Miri

MIRI: Seorang kanak-kanak perempuan ditemui maut akibat lemas terjatuh dalam sungai apabila dua bot bertembung sesama sendiri dalam kejadian berhampiran Kem Balak KTS, Sungai Tutoh Marudi, petang tadi.

Mayat Sulin Paaya Andrias, 12, ditemui terapung tidak jauh dari lokasi kejadian oleh penduduk kampung berhampiran, kira-kira jam 4 petang.

Dalam kejadian itu, dua bot panjang dikenali sebagai Long Pandai dan Long Perawan dipercayai berlanggar sesama sendiri kira-kira jam 1 tengah hari, sekali gus menyebabkan semua penumpang di kedua-dua bot terjatuh di dalam sungai.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Miri berkata, selain mangsa, terdapat seorang lagi kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Nelynya Andrias, 9, turut terjatuh di sungai dan dikhuatiri lemas dan setakat ini belum ditemui.

"Gerakan Mencari dan Menyelamat (SAR) sedang dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat serta polis Marudi di lokasi kejadian sebaik pihaknya mendapatkan laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.43 petang.

"Setakat ini, pihaknya belum menemui mangsa kanak-kanak lelaki itu selain pada masa sama terpaksa menangguhkan sementara operasi mencari berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan,"katanya.

Katanya, operasi mencari akan disambung esok, namun pada masa sama bergantung kepada keadaan cuaca bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, setakat ini, pihaknya belum mendapat butiran lanjut termasuk mengenal pasti punca kejadian dan keterangan semua mangsa diambil bagi membantu siasatan.

Berita Harian X