Selasa, 23 Mei 2017 | 10:25pm

Muhamad Nazri raih emas lompat kijang di Bangkok


ATLET remaja negara, Muhamad Nazri Mustafa gah merangkul pingat emas acara lompat kijang dengan catatan 15.05 meter (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Ke-2 di Bangkok

KUALA LUMPUR: Atlet remaja negara, Muhamad Nazri Mustafa gah merangkul pingat emas acara lompat kijang dengan catatan 15.05 meter (m) di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Ke-2 di Bangkok, Thailand, hari ini.

Lebih membanggakan, lompatan emas itu membolehkan Muhamad Nazri, 17, melayakkan diri menyertai Kejohanan Dunia Bawah 18 Tahun (B-18) Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) di Nairobi, Kenya, dari 12 hingga 16 Julai ini.

Berdasarkan standard kemasukan ditetapkan IAAF, seseorang atlet itu perlu melompat sejauh 14.90m untuk layak secara merit menyertai kejohanan bertaraf dunia berkenaan.

Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional Supachalasai, Thailand itu, pingat perak menjadi milik atlet dari Taiwan, Hao Wen Huang dengan catatan 14.78m, manakala gangsa dibawa pulang Jian Ming Yu dari China (14.71m).

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata kejayaan dicatatkan oleh Muhamad Nazri itu adalah satu pencapaian menakjubkan memandangkan dia bukan saja berjaya menewaskan atlet dari negara kuasa besar olahraga, malah layak ke kejohanan dunia.

"Ia pencapaian yang bagus kerana terus layak ke Kejohanan Dunia B-18 di Nairobi, Kenya. Dia bukan saja menang kejohanan remaja tetapi mengatasi negara yang hebat seperti China dan Taiwan.

"Oleh kerana dia di peringkat remaja, kita perlu mengadakan program yang baik untuk masa depan atlet muda ini agar kita dapat kuasai acara lompat kijang di Sukan SEA. Mungkin satu hari nanti dia dapat menjadi pengganti Muhammad Hakimi Ismail," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Karim menjelaskan, sebagai penghargaan menyediakan insentif sebanyak RM1,000 kepada atlet yang memenangi pingat emas serta RM500 kerana layak ke kejohanan B-18, RM500 bagi pingat perak manakala RM300 untuk pingat gangsa.

Secara keseluruhan Malaysia meraih 1 emas, 3 perak dan 1 gangsa pada kejohanan itu.

Keputusan:

Emas: Muhamad Nazri Mustafa, 15.05m (lompat kijang)

Perak: Grace Wong, 59.00m (baling tukul besi)

Perak: Muhammad Aiedel Saadon, 10.80s (100m)

Perak: Muhammad Ilham Suhaimi, 48.16s (400m)

Gangsa: Ngu Ing Biao, 52.48m (lempar cakera)

Berita Harian X