Selasa, 23 Mei 2017 | 10:18pm

MU turun tanpa Souza

FELIPE De Almeida Souza

MELAKA: Melaka United (MU) gagal menggunakan khidmat import baharu dari Brazil Felipe De Almeida Souza ketika berdepan FELDA United pada aksi Liga Super di Jengka, malam esok.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, berkata ia berikutan pemain terbabit belum memperoleh Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) menjelang perlawanan berkenaan.

Beliau berkata, kehadiran pemain terbabit mampu menyuntik corak persembahan bertenaga pasukan menerusi pengalaman antarabangsa yang dimilikinya, selain mampu memberi nafas baharu kepada skuad berkenaan.

"Selepas mengikat pemain pertahanan dari Macedonia, Jasmin Mecinovic, kami memerlukan barisan tengah berwibawa untuk menjelmakan aksi terbaik pada saingan terbabit.

"Apapun, alternatif adalah menggunakan pemain sedia ada menerusi gabungan pemain tempatan dan Jeon Woo Young dari Korea Selatan, yang terbukti berkesan untuk melakukan hantaran kepada barisan depan," katanya.

Apa yang pasti, pemain tengah kelahiran Argentina, Sergio Aguero, yang tidak diteruskan khidmatnya bagi memberi laluan kepada Souza turut bersama MU ke Jengka.

Aguero juga mungkin beraksi pada perlawanan esok.

Mohd Yusoff berkata, dua pemain dari Johor Darul Ta'zim II (JDT II) juga bakal bersama pasukan, namun tidak untuk pertembungan dengan FELDA.

Katanya, seorang pemain terbabit, Azinee Taib, yang juga bekas pemain Pulau Pinang dan JDT dijangka hanya akan beraksi pada perlawanan liga dan Piala Malaysia selepas Aidilfitri.

Berita Harian X