Selasa, 23 Mei 2017 | 6:37pm
PENGARAH Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Auto, Datuk Seri Ben Yeoh mencuba kenderaan MX-5 RF ketika pelancarannya di Setia Alam Convention Centre, Shah Alam.

Mazda perkenal dua model baharu


MODEL MX-5 RF. - Foto Muhammad Sulaiman

BERMAZ Motor Sdn Bhd, pengedar Mazda memperkenalkan dua model baharu iaitu MX-5 RF dengan bumbung logam boleh laras dan Mazda3 SKYACTIV GVC untuk pasaran tempatan.

Pengenalan MX-5 RF sekali gus mengesahkan penamatan jualan versi lama yang menggunakan bumbung fabrik dengan versi baharu dijual pada harga atas jalan termasuk insurans iaitu RM248,182.65 bagi versi auto dan RM242,717.29 untuk manual.

Mazda3 SKYACTIV GVC pula ditawarkan dengan tiga varian yang dijual pada harga atas jalan dengan insurans dari RM113,598.79 bagi varian 2.0SDN (GL) SKYACTIV (A), RM129,012.19 (2.0SDN HIGH SKYACTIV) dan RM132,094.87 (2.0HB HIGH SKYACTIV).

Tumpuan peminat kereta terarah kepada model MX-5 RF yang mana ia menampilkan rekaan pertama seumpamanya dan berbeza sedikit dari cabriolet atau convertible biasa.

Jika bumbung kereta ini terpasang, bentuk keseluruhan MX-5 RF adalah seperti Roadster hardtop lain dan sama dengan model sport iaitu Ford Mustang atau Toyota Celica.

Bumbung, cermin belakang dan panel sisi berkenaan dilipat dan disimpan pada bahagian belakang dengan bantuan elektrik dalam masa hanya 12 saat dan boleh diaplikasikan pada kelajuan di bawah 10 kilometer sejam.

MX-5 RF menggunakan enjin petrol 2.0 liter SKYACTIV-G empat silinder dengan hamburan kuasa 158 kuasa kuda (hp) dan tork 200 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik atau gear manual enam kelajuan SkyActiv-MT.


MODEL Mazda3 SKYACTIV GVC.

Elemen lain yang ditawarkan termasuk lampu utama LED adaptif, lampu nyalaan siang LED, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, roda stereng dan tombol gear balutan kulit,.

Selain itu, ia didatangkan pendingin hawa automatik, kawalan kelajuan, skrin TFT berwarna-sepenuhnya 4.6 inci bagi sistem hiburan dan skrin sesentuh tujuh-inci untuk sistem informasi MZD Connect bersama sistem bunyi Bose sembilan-pembesar suara dan rim 17-inci.

MX-5 RF ini ditawarkan dengan pilihan warna iaitu Soul Red Metallic, Crystal White Pearl, Machine Grey dan Jet Black.

Bermaz turut menawarkan jaminan selama lima tahun atau 100,000 kilometer (km) dan tiga tahun atau 60,000 km bagi pakej servis percuma.

Info:

Mazda MX-5 RF

* Harga atas jalan termasuk insurans RM248,182.65 (auto) dan RM242,717.29 (manual)

* Enjin petrol 2.0 liter SKYACTIV-G empat silinder

* Transmisi automatik dan manual enam kelajuan

* 158 hp dan tork 200 Nm

* LED adaptif, lampu nyalaan siang LED, rim 17-inci, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, roda stereng dan tombol gear balutan kulit

Berita Harian X