Selasa, 23 Mei 2017 | 2:00pm

160 penguat kuasa KPDNKK Pahang pantau harga


TIMBALAN Pengarah KPDNKK Pahang, Alwi Abdul Hamid (tiga dari kanan) melihat telur ayam yang juga salah satu daripada 10 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan dalam Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan di Pasaraya Pantai Selamat di sini. - Foto Shahrinnahar Latib

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (KPNDKK) Pahang menggerakkan 160 pegawai penguat kuasanya memantau pelaksanaan Skim Kawalan Harga Ramadan mulai semalam.

Timbalan Pengarahnya, Alwi Abdul Hamid, berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga yang cuba menaikkan harga 10 jenis barangan termasuk kacang tanah, kacang hijau, telur ayam gred A, B dan C, kelapa biji, kelapa parut, gula kasar dan tepung gandum.

Katanya, peniaga perlu mematuhi arahan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan barangan harga terkawal berkenaan, sekali gus memudahkan pengguna membuat pilihan.

"Walaupun harga 10 jenis barangan berkenaan sudah ditetapkan, peniaga digalak menjual pada harga lebih rendah berbanding harga siling jika harga yang diperoleh lebih rendah," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan di Pasaraya Pantai Selamat di sini, hari ini.

Alwi berkata, skim kawalan itu dilaksanakan supaya pengguna memperoleh barangan perlu musim perayaan pada harga berpatutan, sekali gus menyekat peningkatan harga melampau.

"Ini juga langkah kerajaan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, maka peniaga perlu mematuhi arahan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan seperti ditetapkan," katanya.

Aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkaitan skim itu boleh disalurkan melalui e-mel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my, talian 03-80008000 (1Malaysia One Call Centre (1MOCC) atau melaporkan di mana-mana pejabat KPDNKK seluruh negeri.

Berita Harian X