Ahad, 11 Januari 2015 | 6:18pm
KEAADAN van yang terbabit dalam kemalangan di Taman Liman. - Foto Muhaizan Yahya.

Dua beranak maut dalam kemalangan di Jalan Ipoh-Gerik

KUALA KANGSAR: Seorang pembuat batu nisan dan anak perempuannya maut dalam kemalangan di Kilometer 63, Jalan Ipoh-Gerik, di Liman Kati, di sini tengah hari tadi.

Mangsa dikenali sebagai Ahmad Tajudin Ishak, 51, dan anaknya Nurul Aunui, 12, manakala anak lelakinya Mohd Khalish, 12, serta rakannya Mohd Sohaimi Zakaria, 43, cedera ringan dan dimasukkan ke Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Ghuzlan Salleh berkata Ahmad Tajudin maut di tempat kejadian manakala anak perempuannya meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, di sini.

Beliau berkata dalam kejadian 1 tengah hari itu, Ahmad Tajudin yang memandu sebuah van jenis Toyota Hiace sedang menghala ke arah Lenggong cuba memotong sebuah kenderaan lalu memasuki lorong bertentangan.

"Mangsa cuba mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan lalu hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan menghala ke Lenggong. Semasa kejadian Ahmad Tajudin bersama dua anaknya dan seorang rakan," katanya kepada Bernama.

Mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan untuk menghantar tempahan batu nisan, kata Ghuzlan.

- BERNAMA

Berita Harian X