Isnin, 22 Mei 2017 | 8:39pm

Mayat lelaki hilang ditemui dekat kereta terbakar


KEADAAN kereta yang terbakar di kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Lama Kerling, Kalumpang.

HULU SELANGOR: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang oleh keluarganya ditemui di tepi sebuah kenderaan yang terbakar di kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Lama Kerling, di sini, pagi tadi.

Mangsa ditemui oleh orang ramai jam 10.15 pagi dalam keadaan terbaring berhampiran sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Mitsubishi Pajero miliknya yang terbakar.

Pemeriksaan pada mayat mangsa menemui sejumlah wang tunai dan dompet dan dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata hasil siasatan awal mendapati punca kebakaran kereta terbabit bermula daripada bahagian dalam dan bukan daripada enjin.

"Siasatan awal mendapati ada kesan calar pada kaki kiri dan tangan kanan mangsa namun tiada kesan luka akibat tikaman atau tembakan ditemui pada tubuhnya.

"Mayat mangsa ditemui pula kira-kira 8.2 meter daripada lokasi kereta jenis Mitsubishi Pajero milik mangsa yang terbakar itu. Wang tunai dan dompet turut ditemui padanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Supramaniam berkata siasatan lanjut mendapati satu laporan kehilangan mangsa sudah dibuat oleh adiknya di Balai Polis Sungai Way semalam.

"Adik mangsa memberitahu mangsa keluar daripada rumah untuk pergi kerja di Subang Jaya dengan memandu kenderaannya kira-kira jam 1.13 pagi, semalam.

"Difahamkan, mangsa mengalami masalah strok dan ketika keluar rumah, dia dikatakan tidak membawa bekalan ubat menyebabkan adik mangsa risau," katanya.

Katanya lagi, selain itu, mangsa juga mengalami masalah kemurungan kira-kira sebulan yang lalu kerana mempunyai masalah peribadi dengan teman wanitanya.

Menurut Supramaian, buat masa ini polis tidak dapat mengklasifikasikan siasatan sehinggalah laporan bedah siasat dikeluarkan pihak hospital.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hanafi di talian 013-2402487.

64 dibaca
Berita Harian X