Isnin, 22 Mei 2017 | 4:13pm

Pasangan kekasih didakwa bunuh budak


NOR Solihah bersama kekasihnya, Mohamad Rohaizat dibawa keluar selepas didakwa melakukan penganiayaan dan membunuh seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Mahkamah Majistert Kajang. - Foto Aizuddin Saad

KAJANG: Seorang wanita dan dan kekasihnya masing-masing didakwa secara berasingan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak, dua minggu lalu.

Di Mahkamah Majistret di sini, tukang masak, Muhammad Rohaizat Tan, 39, didakwa membunuh Muhammad Adam Daniel Abdul Hafiz, dua tahun 10 bulan, di sebuah rumah di Jalan Dato Seri P Alagendra 2, Kajang Plaza, di sini antara jam 5 pagi hingga 6.30 pagi, 13 Mei lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki berambut panjang dan memakai baju T berkolar berbelang merah hitam sejurus pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di Mahkamah Sesyen di sini, pembantu taska yang juga ibu mangsa, Nor Solihah Abdul Majid, 29, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Noridah Adam atas tuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah taska Jalan Kajang Impian 2/9 Taman Kajang Impian Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, jam 10 malam, 12 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Nor Solihah yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan dikurangkan atas alasan tidak bekerja dan menanggung serta menjaga mangsa dengan pendapatan RM1,000 sebelum ini.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X