Ahad, 21 Mei 2017 | 8:37pm

Budak perempuan Sudan maut jatuh kondo

KAJANG: Seorang budak perempuan Sudan yang tinggal sendirian maut selepas terjatuh dari tingkat 14, sebuah kondominium di Juta Mines dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 12.05 tengah hari, budak berusia empat tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah kepala.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata sebelum keluar ibu mangsa meninggalkannya berseorangan di rumah kerana dia sedang tidur.

"Ibunya turun bagi mengambil dua anaknya yang lain.

"Mangsa dipercayai bangun tidur dan menyedari ibunya tiada di rumah lalu mengambil kerusi plastik untuk dibawa ke balkoni meninjau ke bawah mencari ibunya namun hilang kawalan lalu terjatuh, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Othman berkata, hasil siasatan mendapati ada satu kerusi plastik dijumpai di balkoni rumah yang sebelum ini berada di ruang tamu.

"Ketika kejadian ibu mangsa mengunci pintu rumah dan mangsa tidak ditemani oleh sesiapa pun.

"Pihak kami mempercayai kejadian ini berlaku disebabkan kecuaian ibu mangsa yang meninggalkannya seorang diri tanpa pengawasan, " katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 33, Akta Kanak-kanak 2001 jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjarakan tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Berita Harian X