Sabtu, 20 Mei 2017 | 3:59pm

RM15,000 untuk bunyi enjin, saksofon Lan Pet Pet


LAN Pet-Pet membuat persembahan pada majlis penutup Karnival Penyayang di Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Keunikan persembahan pelawak, Lan Pet Pet membuat aksi meniru bunyi enjin kenderaan dan saksofon pada Karnival Amal Hari Penyayang 2017 berjaya dibida sebanyak RM15,000 untuk disumbangkan kepada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB).

Dalam acara lelongan amal pada karnival yang melabuhkan tirainya hari ini, Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad membuat persembahan secara spontan meniru bunyi enjin kereta lumba Formula One (F1), ambulans dan bunyi saksofon mengalunkan lagu Getaran Jiwa.

Persembahan selama kira-kira 15 minit itu kemudiannya berjaya memikat hati pembida iaitu Pengarah ECK Group Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew yang membidanya sebanyak RM15,000.

Persembahan Lan Pet Pet antara 21 barangan termasuk koleksi peribadi Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah, yang dibida sempena berlangsungnya karnival itu dengan kutipan bidaan keseluruhan berjumlah RM518,000.

Ginney turut tampil sebagai pembida tertinggi pada acara lelongan itu dengan membida sebanyak enam jenis barangan antaranya persembahan Lan Pet Pet dan potret Sultan Abdul Halim serta Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM165,000.

Malah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut membida dua koleksi iaitu potret Sultan Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah serta keris panjang berlok 75 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM85,000.

Ginney yang ditemui selepas berakhirnya acara lelongan itu berkata, beliau menyifatkan sumbangan yang dihulurkan ini sebagai sebahagian daripada rezeki dari Tuhan buat golongan yang memerlukan.

Menyentuh mengenai bidaan terhadap persembahan Lan Pet Pet pula, Ginney berkata, beliau menyifatkan bakat yang ada pada pelawak berkenaan sangat hebat dan berjaya mencuit hati semua tetamu yang ada di situ.

"Saya tak kenal Lan Pet Pet sebelum ini tetapi selepas melihat persembahannya saya rasa dia sangat hebat dan menarik serta berjaya membuatkan tetamu tidak bosan...saya sangat terpikat.

"Sebelum ini saya selalu menghadiri sambutan karnival ini namun tahun ini baharu berpeluang membida dan antara koleksi yang paling menarik perhatian saya ketika melangkah ke sini adalah potret Sultan Kedah dan Sultanah Kedah," katanya pada Karnival Amal Hari Penyayang 2017 anjuran YSB, di sini hari ini.

Turut berangkat pada karnival yang berlangsung selama dua hari itu ialah Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Berita Harian X