Sabtu, 20 Mei 2017 | 10:53am

MATTA Fair Pahang sasar jualan RM2.5 juta


PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif (tiga dari kanan) ketika melawat gerai pameran MATTA Fair Pahang di pusat beli-belah Berjaya Megamall. - Foto Shahrinnahar Latib

KUANTAN: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan jualan sebanyak RM2.5 juta sempena penganjuran MATTA Fair Pahang yang sedang berlangsung selama tiga hari, bermula semalam.

Pengerusi MATTA Pahang, Burhanuddin Ghazali, berkata jumlah sasaran itu sama seperti ketika MATTA Fair Pahang tahun lalu dengan unjuran pengunjung kali ini seramai 25,000 orang.

"Kita tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi disebabkan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, selain kemunculan banyak promosi yang menawarkan pakej pelancongan pada harga yang berpatutan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian MATTA Fair Pahang di pusat membeli belah Berjaya Megamall di sini, hari ini.

Majlis perasmian berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Kata Burhanuddin, sebanyak 56 tapak pameran menawarkan pelbagai pakej pelancongan pada acara yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu.

"Acara itu turut mempromosikan Tahun Melawat Pahang 2017 yang berslogankan 'Hogoh Pahang' dan mengenengahkan eko pelancongan dan alam semula jadi sebagai tarikan utama.

"Penganjuran ini menjanjikan pengalaman menarik bagi mengunjung dengan pelbagai pilihan pada harga promosi yang berpatutan," katanya.

Burhanuddin berkata, pameran bertujuan untuk memperhebatkan lagi pelancongan domestik menerusi tawaran diskaun menarik kepada pengunjung yang memilih Malaysia sebagai destinasi percutian.

"Fokus untuk mempromosi destinasi percutian dalam negara dilakukan bagi menyahut saranan kerajaan untuk menggalakkan pelancongan domestik," katanya.

Berita Harian X