Ahad, 11 Januari 2015 | 6:53am

Dana pembangunan perlu selaras jumlah kerusi

Sebelas kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ekoran persempadanan semula bakal mengukuhkan kedudukan dan survival Barisan Nasional (BN) untuk jangka panjang. Persoalannya, mengapakah jumlah kerusi baharu itu tidak dalam angka ganjil?

Namun, disebabkan persaingan antara BN dan pakatan pembangkang tidak sengit untuk beberapa pilihan raya lagi, sehingga memungkinkan DUN tergantung, maka ia tidak relevan. Dalam melakukan persempadanan semula, SPR tentu mengambil kira pelbagai faktor, termasuk saiz kawasan, kemudahan di kawasan, jumlah dan etnik pengundi. Di atas kertas, semua kerusi mempertimbangkan etnik.

Daripada 11 kerusi itu, tiga majoriti Melayu/Melanau iaitu Gedong, Kabong, dan Tellian, tiga majoriti Iban di Stakan, Selirik dan Samalaju; dua Orang Ulu di Murum dan Long Lama, dua Bidayuh di Serembu dan Triboh, dan satu majoriti Cina di Batu Kitang.

SPR dikritik

Seperti biasa, SPR dikritik kerana kerusi baharu itu dikatakan hanya memihak kepada kawasan luar bandar. Didakwa berlaku 'gerrymandering' ketara melalui dua pendekatan, iaitu cracking menghakiskan jumlah pengundi yang memihak kepada pembangkang dengan mewujudkan kerusi baharu, dan packing, memberi jumlah pengundi secara berlebihan kepada pembangkang di kawasan tertentu yang memang memihak kepadanya.

Berdasarkan analisis, jumlah pengundi di sesuatu kerusi baharu adalah lingkungan 10,000 orang, dengan kerusi Batu Kitang di Parlimen Stampin mempunyai 20,107 pengundi dan paling sedikit, Gedong di Parlimen Batang Sadong hanya mempunyai 6,340 pengundi.

Bagi memutuskan pengagihan kerusi baharu, semua parti komponen bakal mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat. Pengagihannya tentu berdasarkan majoriti etnik, sejarah dan potensi boleh menang parti terbabit meskipun kerusi itu kelihatan bakal disapu bersih BN. Wajarkah Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dan United Peoples Party (UPP) akan dijemput menghadiri mesyuarat itu, menyedari tentangan daripada rakan komponennya?

Atau parti terbabit tidak akan diterima masuk kerana sebenarnya dengan mengandaikan lima atau enam kerusi bakal diberikan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tidak banyak lagi kerusi untuk diagih-agihkan. Kecuali, tindakan drastik diambil untuk mengurangkan kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif dan Demokratik Sarawak (SPDP) untuk diagihkan kepada dua parti baharu terbabit.

Tetapi, langkah itu jika dilaksanakan tentu hanya mengundang protes dan masalah lebih besar. Pintu BN bagai tertutup untuk Teras dan UPP. Adakah hal ini juga bermaksud akan ada parti yang akan berputih mata, tanpa diberi sebarang kerusi, malah dikurangkan kerusi? Adakah Teras dan UPP bakal mendapat beberapa kerusi yang dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri yang kini bersamanya, melalui SPDP dan SUPP dalam pilihan raya lalu? Tidak dapat dibayangkan sesebuah parti bertanding di satu atau dua kerusi sahaja.

Jika dua parti itu diterima menjadi anggota BN, itulah sahaja pilihan yang bakal diambil. Jalan penyelesaian masalah yang dihadapi sekarang bukan mudah. Keadaannya bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa. Kebijaksanaan perhitungan amat dituntut. Sesudah pengagihan dilakukan, menjadi tanggungjawab semua pemimpin parti komponen untuk akur. Bagaimanapun, Parti Rakyat Sarawak (PRS) hampir pasti diberi sekurang-kurangnya satu kerusi, iaitu Murum.

Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, SPR bertanggungjawab untuk mengkaji semula sempadan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri setiap tidak kurang daripada lapan tahun.

Dengan proses terbaharu ini, bermaksud SPR melakukan persempadanan semula sebanyak empat kali bagi Sarawak. Yang pertama pada tahun 1985, dengan peningkatan daripada 48 kerusi menjadi 56 kerusi. Seterusnya pada tahun 1995 apabila jumlah kerusi bertambah kepada 62, sebelum meningkat menjadi 71 pada tahun 2005. Persempadanan kali ini adalah jumlah pertambahan paling banyak dalam tempoh 40 tahun lalu, sekali gus menjadikan Sarawak memiliki kerusi DUN terbanyak di negara ini.

Pertambahan kerusi selaras pertambahan penduduk

Pertambahan kerusi difikirkan selaras dengan pertambahan jumlah pengundi dan penduduk.

Justeru, jumlah peruntukan keseluruhan untuk pembangunan perlu ditingkatkan selaras jumlah kerusi. Kita harap kekerapan persidangan dan jumlah hari persidangan DUN ditambah bagi membolehkan perbahasan yang lebih bermakna untuk membincangkan isu dan masalah rakyat. Dijangka ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 nanti, semua kerusi itu bakal dimenangi oleh BN.

Pakatan pembangkang perlu terima hakikat bahawa amat sukar menembusi kawasan terbabit kerana pengundi di Sarawak masih yakin keupayaan BN membawa pembangunan dan memenuhi aspirasi mereka.

Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

Berita Harian X