Khamis, 18 Mei 2017 | 7:54pm

Isu minyak sawit: M'sia, Indo sedia bertindak

KUALA SELANGOR: Malaysia dan Indonesia sedia bertindak balas terhadap negara yang memboikot minyak sawit keluaran negara berjiran itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, isu berkenaan sudah dibincang bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo, pada Sidang Kemuncak ASEAN di Manila baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua negara melalui Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan menghantar menteri masing-masing ke negara terbabit termasuk anggota Kesatuan Eropah (EU) bagi meyakinkan mereka kempen dan dakwaan negatif terhadap minyak sawit adalah tidak berasas.

"Kita mesti beritahu mereka, Malaysia dan Indonesia bukan negara yang tidak berkemampuan.

"Kita juga beli banyak produk dari negara mereka dan sesiapa yang memboikot minyak sawit mungkin mendapat tindak balas dari Malaysia dan Indonesia," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara di Padang Estet Tennamaram, di sini, hari ini.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan simbolik perasmian Sambutan 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara di Ladang Tannamaram, Bistari Jaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Yang turut hadir, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Pengerusi Sime Darby Berhad, Tan Sri Abdul Ghani Othman dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad serta kira-kira 5,000 pihak terbabit dalam industri sawit termasuk pekebun kecil.

Perdana Menteri berkata, negara perlu melakukan lima anjakan transformasi ke arah memastikan masa depan industri sawit lebih cemerlang untuk tempoh 100 tahun akan datang.

Katanya, industri sawit negara terus berdepan dengan tuduhan dan persepsi negatif beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan pembangunan tanaman sawit tidak mampan, mencemarkan alam sekitar serta didakwa menyebabkan penebangan hutan dalam negara.

"Kerajaan akan mewajibkan Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MPSO) bermula 31 Disember 2019, selaras permintaan pasaran global terhadap minyak sawit mampan," katanya.

Najib berkata, pelaburan perlu dibuat dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan (R&D&C) dalam menyokong pengembangan industri sawit.

"Kita juga perlu memberi tumpuan dan memperkukuhkan pembangunan modal insan, menyasarkan lebih ramai golongan profesional menceburi bidang sawit serta penyediaan dana untuk Skim Tanaman Semula dan Tanam Baharu Sawit untuk pekebun kecil.

"Di hadapan lebih 5,000 orang hadirin, saya ingin mengumumkan peruntukan tambahan RM510 juta untuk tempoh tiga tahun akan datang bagi Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan Tanam Baharu Sawit Pekebun Kecil.

"Bagi tahun 2017, peruntukan tambahan dipohon Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, maka kerajaan meluluskan RM130 juta," katanya.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Tennamaram berserta sebuah dewan untuk memindahkan sekolah sedia ada dari Ladang Kampung Baru, di sini.

Beliau turut menerima Anugerah Tokoh Pembangunan Industri Sawit bagi pihak bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sebagai menghargai segala jasanya untuk melihat perubahan ekonomi dan sosial masyarakat luar bandar menerusi penubuhan FELDA.

Najib turut menyampaikan Anugerah Khas Pekebun Kecil, Anugerah Khas Skim Rancangan Sawit Kerajaan Pertama, Anugerah Ladang Sawit Komersial Pertama, dan Anugerah Pengasas Industri Sawit kepada Pengasas Ladang Sawit di Malaysia, Henri Fauconnier.

Berita Harian X