Rabu, 17 Mei 2017 | 8:42pm

Gagal meragut, lelaki ditahan orang awam

KETUA Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman pada majlis Perasmian Kempen Cegah Jenayah di Maju Junction. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang cuba meragut rantai emas seorang pelancong wanita dari India, ditahan orang awam selepas terjatuh daripada motosikal di Jalan Hang Lekiu di sini, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, suspek berusia 25 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135, dilaporkan mendekati mangsa berusia 21 tahun yang sedang melintas jalan dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata ketika suspek cuba menarik rantai leher itu, mangsa sempat memegang kuat rantai itu sambil menjerit ke arah orang ramai yang berada di kawasan sekitar.

"Selepas gagal melarikan rantai wanita berkenaan, suspek kemudian memecut motosikal namun terlanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan dia terjatuh dan cuba melarikan diri.

"Pada masa sama, sekumpulan orang awam mengejar dan menangkap suspek di lokasi kejadian sebelum dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut, " katanya sebentar tadi.

Sukri berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melakukan samun.

Katanya, hasil pemeriksaan suspek mempunyai lima rekod berhubung kes jenayah lampau dan satu kes dadah.

Berita Harian X