Rabu, 17 Mei 2017 | 7:51pm

Brent susut kepada AS$51.45

SINGAPURA: Harga minyak jatuh pada Rabu selepas data menunjukkan peningkatan dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS).

Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan pasaran kekal lebihan bekalan di sebalik usaha oleh pengeluar utama, Arab Saudi dan Russia untuk melanjutkan pemotongan bekalan.

Minyak mentah Brent turun 20 cents atau 0.4 peratus daripada penutup terakhir kepada AS$51.45 setong pada 0647 GMT.

Minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) diniagakan pada AS$48.39, turun 27 cents atau 0.6 peratus.

Inventori minyak mentah AS meningkat sebanyak 882,000 tong pada tempoh seminggu berakhir 12 Mei kepada 523.4 juta, data daripada Institut Petroleum Amerika (API) yang ditunjukkan Selasa.

Brent mencecah paras AS$$52.63 setong pada Isnin dan WTI naik setinggi AS$49.66 setong selepas Arab Saudi dan Russia bersetuju mengenai keperluan untuk memotong bekalan sebanyak 1.8 juta tong sehari oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan beberapa pengeluar lain, yang dilanjutkan sehingga akhir Mac 2018.

Data rasmi simpanan AS akan dikeluarkan oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) lewat Rabu.

"Kelemahan OPEC... retorik telah pun didedahkan... apabila inventori minyak mentah API AS menunjukkan peningkatan tidak dijangka," kata Jeffrey Halley, broker niaga hadapan Oanda.

Ada juga peningkatan jumlah kapal tangki simpanan minyak mentah China apabila kemudahan di daratan sudah penuh.

Lanjutan pemotongan bekalan yang bermula Januari dan sepatutnya berakhir pada Jun dilihat sebagai perlu oleh beberapa negara anggota.

Agensi Tenaga Antarabangsa berkata inventori minyak komersial di negara perindustrian meningkat 24.1 juta tong pada suku pertama tahun 2016, di sebalik pemotongan bekalan.

Reuters

Berita Harian X