Rabu, 17 Mei 2017 | 6:51pm

Ganjaran RM5,000 pecah rekod Sukan SEA


DATUK Karim Ibrahim (empat dari kanan) pada mesyuarat bersama jurulatih di Wisma OCM. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memulakan langkah awal untuk melonjakkan semangat atlet negara dengan mengumumkan ganjaran wang tunai RM5,000 bagi mereka yang memecahkan rekod kejohanan pada Sukan SEA 2017 (KL 2017).

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim, berkata RM1,000 juga akan diberi kepada pemenang pingat emas dan tambahan RM1,000 bagi yang memperbaharui rekod kebangsaan.

"Jika memenangi pingat emas dan rekod dipecahkan, ia bermakna atlet itu layak menerima RM6,000. Bagi acara lari berganti-ganti 4x100 meter (m) yang diwakili empat pelari memenangi pingat emas, setiap seorang akan menerima RM1,000.

"Kita umumkan insentif ini lebih awal kerana ingin memberikan motivasi supaya atlet berlatih bersungguh-sungguh memburu pingat emas.

"Bagaimanapun, jurulatih tidak menerimanya kerana mempunyai program lain di Majlis Sukan Negara (MSN) dan menerima gaji tetap," katanya pada sidang media di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM), hari ini.

Karim yakin acara lompat tinggi, lompat kijang dan lempar cakera lelaki mampu meraih pingat emas dan melaungkan keyakinan skuad olahraga berupaya mencapai keputusan lebih baik berbanding di Singapura pada 2015.

"Selain tiga acara ini, acara yang berpotensi adalah pecut dan lontaran. Saya lihat acara pecut juga mempunyai peluang namun kita tidak mahu meletakkan tekanan buat mereka," katanya.

Skuad olahraga bakal mengharungi tiga lagi kejohanan sebelum temasya Sukan SEA membuka tirainya pada 19 Ogos ini iaitu Terbuka Thailand (12 hingga 15 Jun), Terbuka Korea (26 hingga 27 Jun) dan Kejohanan Olahraga Asia ke-22 di India pada 6 hingga 9 Julai ini.

Berita Harian X