Rabu, 17 Mei 2017 | 3:34pm
KEADAAN pacuan empat roda Toyota Hilux yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Persisir berhampiran Horizon Hills dekat Iskandar Puteri, Johor yang turut mengorbankan dua mangsa termasuk seorang rakyat Australia - Foto Ihsan Bomba Johor
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan dua mangsa kemalangan yang maut termasuk seorang warga Australia dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Persisir berhampiran Horizon Hills dekat Iskandar Puteri, Johor. - Ihsan BOMBA JOHOR
DUA mangsa kemalangan maut termasuk seorang warga Australia dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Persisir berhampiran Horizon Hills dekat Iskandar Puteri, Johor.- Ihsan Bomba Johor

Dua beranak warga Australia maut kemalangan

ISKANDAR PUTERI: Dua beranak warga Australia maut apabila pacuan empat roda dinaiki mereka remuk, selepas terbabit kemalangan di Kilometer 3.6 Lebuh Raya Iskandar Sultan menghala Johor Bahru, dekat sini. 

Dalam kejadian pada jam 12.45 tengah hari ini, pemandu Toyota Hilux, Troy Justin Youngnickel, 45, iaitu pengarah projek reka bentuk sebuah syarikat dan anak lelakinya, Jai Geofrey Roy Youngnickel, 4, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata siasatan polis mendapati kemalangan berpunca apabila Toyota Hilux yang dipandu dari arah Johor Bahru menghala ke Kota Iskandar terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Kenderaan pacuan empat roda itu kemudian melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk.

"Pemandu Toyota Hilux itu bersama anaknya yang tersepit dalam kenderaan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, " katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Noor Hashim berkata pemandu Toyota Vellfire itu, Muhd Hafifi Hafiz Abu, 31, dan penumpang, Liew Sun Wen, 18, cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), manakala mayat dua beranak itu turut dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Katanya, polis mendapati pacuan empat roda dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk di seluruh bahagian kenderaan terbabit dengan gandar bahagian belakangnya turut tercabut. 

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

27 dibaca
Berita Harian X