Rabu, 17 Mei 2017 | 2:46pm

TRX, Bandar Malaysia umum RFP tak lama lagi


Pengerusi TRX City dan Bandar Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

KUALA LUMPUR: TRX City Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd akan mengumumkan proses permohonan bagi cadangan (RFP), menjemput pernyataan minat untuk menjadi pemaju utama Bandar Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dilantik sebagai Pengerusi bagi kedua-dua TRX City dan Bandar Malaysia.

"Irwan Serigar akan menerajui satu pasukan dengan tanggungjawab penuh bagi projek terbabit, selain penunaian baki aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Selain itu, untuk memastikan negara dan rakyat meraih sebanyak mungkin manfaat, Kementerian Kewangan akan mengekalkan 100 peratus kepentingan Bandar Malaysia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan.

Najib berkata, penamatan perjanjian sebelum ini dengan IWH CREC Sdn Bhd adalah muktamad.

"Proses pemilihan untuk pemaju induk akan membabitkan kriteria yang ketat, termasuk prestasi yang telah terbukti, kemampuan menyiapkan projek, rekaan kandungan, dan keupayaan kewangan untuk menyiapkan projek sebesar ini. Kita akan memastikan tawaran yang mempunyai nilai tertinggi diperoleh," katanya.

Kriteria yang ketat itu penting berikutan Bandar Malaysia menjadi kunci untuk membentuk Kuala Lumpur sebagai antara ibu kota utama dunia, memacu transformasi negara Malaysia ke hadapan.

"Sebagai tapak pembangunan terbesar di Malaysia, yang mempunyai kedudukan strategik utama di ibu negara, ia akan menjadi sebuah pusat bandar baharu bagi Kuala Lumpur dan komuniti baharu yang berkualiti sebagai tempat tinggal orang muda dan keluarga, pusat baharu yang berkembang maju bagi perniagaan kecil dan besar, serta destinasi menarik bagi semua, termasuk pelancong, untuk menikmati kesenian, kebudayaan dan segala yang Malaysia tawarkan," katanya.

Beliau berkata bukan sekadar pejabat dan menara kediaman, kerajaan mahu Bandar Malaysia menjadi pemangkin untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi dan pekerjaan, termasuk bagi KL Internet City yang baharu - hab utama Zon Perdagangan Bebas Digital yang pertama di dunia.

"Kita ingin mewujudkan pembangunan ikonik untuk memacu pertumbuhan pelancongan. Kita juga ingin membina nukleus pengangkutan untuk Malaysia, dengan Bandar Malaysia sebagai pusat utama bagi Keretapi Laju Kuala Lumpur ke Singapura, laluan Mass Rapid Transit (MRT), KTM Komuter, Airport Express Rail Link dan 12 lebuh raya," kata Najib.

Beliau menjelaskan berdasarkan kepada kepentingan projek itu, penting bagi Bandar Malaysia mempunyai kepimpinan, rakan kongsi dan struktur pemilikan yang tepat bagi memastikan potensi penuhnya dapat direalisasikan, untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.

"Saya yakin di bawah kepimpinan Irwan, prospek dan pembangunan Bandar Malaysia akan terus diperkukuhkan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata dengan perkembangan itu, kerja-kerja Jawatankuasa Budiman, yang ditubuhkan pada 2015 untuk menyelia program rasionalisasi 1MDB , ditamatkan.

Pada 3 Mei, TRX City mengumumkan perjanjian penjualan saham IWH CREC yang membabitkan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd, terbatal berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

IWH CREC adalah usaha sama 60:40 antara Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd.

Ketika kunjungan beliau ke China baru-baru ini, Najib berkata, konglomerat multinasional China, Wanda Group dan kerajaan Malaysia telah membincangkan mengenai kemungkinan perbadanan itu menjadi pemaju induk projek mega Bandar Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas menemui pemilik Wanda Groups dan hartawan terkemuka China, Wang Jianlin.

Najib percaya Wanda Group mampu untuk mewujudkan Bandar Malaysia dan bersedia untuk membincangkan kemungkinan membangunkan Bandar Malaysia dengan konglomerat itu.

"Kami tidak membincangkan butiran terperinci atau perjanjian," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X