Selasa, 16 Mei 2017 | 9:05pm

Untung sebelum cukai Pharmaniaga RM27.78j

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Pharmaniaga Bhd meningkat kepada RM27.78 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2017 daripada RM26.54 juta pada tempoh sama 2016.

Perolehan melonjak kepada RM618.29 juta daripada RM559.20 juta pada tempoh sama.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Pharmaniaga berkata, prestasi memberangsangkan itu didorong pemintaan tinggi daripada hospital kerajaan di bawah perniagaan konsesi, selain pertumbuhan dua angka yang direkodkan perniagaan sektor swasta dan operasi di Indonesia.

Menurut Pharmaniaga, bagi suku yang dinilai itu, bahagian Indonesia mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM900,000, pemulihan daripada kerugian sebelum cukai RM1 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam kenyataan berasingan, Pengerusi Pharmaniaga, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata syarikat itu yakin dapat mengekalkan momentum pertumbuhan dan berusaha memanfaatkan peluang besar dalam pasaran domestik serta antarabangsa.

"Operasi kami di Indonesia, khususnya, masih menjadi bidang pertumbuhan utama," katanya, dengan menambah Pharmaniaga turut mencatat kemajuan di Kesatuan Eropah. - BERNAMA

Berita Harian X