Selasa, 16 Mei 2017 | 11:50am

SK Labohan Dagang kumpul kek 54 meter


GURU, ibu bapa dan murid SK Labohan Dagang bersama 140 biji kek yang disusun sepanjang 54 meter sempena sambutan Hari Guru.

SEPANG: Sekolah Kebangsaan (SK) Labohan Dagang mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mengumpul sebanyak 140 biji kek sempena Sambutan Hari Guru 2017 peringkat sekolah, di sini hari ini.

Kek pelbagai jenis yang disusun sepanjang 53 meter itu disumbangkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajar, guru, badan bukan kerajaan (NGO) serta bekas pelajar sekolah berkenaan.

Guru Besar SK Labohan Dagang, Siti Hajar Mohd Ali, berkata idea mengumpulkan kek itu tercetus berkat keyakinan ia dapat dikongsi bersama warga sekolah untuk mengeratkan hubungan di kalangan murid, guru, ibu bapa, bekas pelajar dan penduduk setempat.

Jelas beliau, idea itu dibawa ke mesyuarat PIBG, yang kemudiannya mendapat persetujuan dan diuar-uarkan kepada semua pihak berkenaan dalam tempoh seminggu.

Namun, beliau sendiri tidak menjangkakan idea berkenaan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan, sekali gus menjadi sejarah bagi sekolah berkenaan apabila berjaya mengumpul sebegitu banyak kek sempena Sambutan Hari Guru.

Sambutan Hari Guru itu adalah bersempena sambutan Peringkat Kebangsaan yang diadakan hari ini, dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, di Johor Baharu, Johor bertema 'Guru Pembina Bangsa Negara'.

Sambutan Hari Guru di SK Labohan Dagang bermula pada jam 8.15 pagi dan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif.

Yang turut hadir, Pengerusi PIBG SK Labohan Dagang, Datuk Sabari Misran dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Langat,Norazman Abdul  Aziz.

Program dimulakan dengan nyanyian lagu Guru Malaysia membabitkan 564 murid serta 40 guru, disusuli acara memotong kek yang dilakukan oleh Shahrum.

Berita Harian X