Ahad, 14 Mei 2017 | 6:46pm
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob (empat dari kiri) merasmikan Simposium One Stop Crisis Centre 2017; Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!! di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Kes dera seksual kanak-kanak di Kedah membimbangkan

ALOR SETAR: Kes penderaan seksual kanak-kanak di negeri ini semakin membimbangkan apabila statistik tahun ini menunjukkan peningkatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata sepanjang tahun ini, 16 kes penderaan seksual kanak-kanak berusia bawah sembilan tahun dilaporkan Pusat Krisis Bersepadu (OSCC) Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital negeri.

Katanya, daripada jumlah itu, 10 kanak-kanak-kanak dicabul dan masing-masing tiga dirogol dan diliwat oleh kenalan terdekat iaitu bapa kandung, bapa tiri, adik beradik, saudara mara dan pengasuh.

"Bagi penderaan seksual membabitkan mangsa berusia antara 10 hingga 17 tahun pula, 141 kes yang majoritinya iaitu 119 kes rogol dengan 91 kes dirogol teman lelaki, 21 (cabul) dan satu (liwat).

"Kes sebegini meningkat begitu ketara berbanding tahun lalu, sebanyak 175 kes rogol, dengan 127 mangsa rogol adalah daripada hubungan dengan teman lelaki, tujuh kes cabul dan enam liwat," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Simposium One Stop Crisis Centre 2017; Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!! di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Simposium dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob.

Sementara itu, Suraya berkata, kes penderaan seksual kanak-kanak tidak membabitkan faktor geografi, sama ada ia paling banyak berlaku di kawasan pedalaman atau di bandar.

"Pendedahan tanpa batasan remaja kepada media sosial mengundang peningkatan kes rogol di kalangan mereka, selain terdapat kes yang berlaku akibat si pelaku di bawah pengaruh dadah," katanya.

Berita Harian X