Ahad, 14 Mei 2017 | 2:53pm

Jawatankuasa PAS Pusat tentukan kedudukan Exco Selangor


MURSYIDUL Am PAS, Hashim Jasin (dua dari kiri) melancarkan jentera pilihan raya PAS Kawasan Kepala Batas di Kota Aur, Kepala Batas.- Foto Zulfa Mohamad

KEPALA BATAS: Majlis Syura Ulama PAS akan menyerahkan kepada jawatankuasa PAS pusat untuk menentukan kedudukan anggota Exconya di Selangor, kata Mursyidul Amnya, Hashim Jasin.

Beliau berkata jawatankuasa PAS dijadual bermesyuarat Khamis depan dan ia akan diumumkan sekiranya keputusan dicapai.

Katanya, PAS telah menjangkakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meminta anggota Exconya meletak jawatan selepas tahaluf siyasi atau kerjasama politik di antara parti itu dengan PKR dibatalkan.

"PAS pusat mempunyai lujnah politik yang bertugas sepenuh masa maka kita serah balik kepada mereka untuk menentukan kedudukan tiga exco Selangor daripada PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jentera Pilihan Raya PAS Kepala Batas di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dilapor telah mengarahkan tiga anggota Exco negeri daripada PAS untuk meletak jawatan selepas kerjasama politik antara PKR dan PAS diputuskan.

Bagaimanapun, Hashim menyifatkan berkemungkinan ada pihak lain yang lebih berkuasa untuk tidak membenarkan tiga Exco PAS itu meletak jawatan.

"Pada hal Menteri Besar Selangor boleh rombak barisan exco itu, pasal apa beliau tidak berbuat demikian, itulah teka tekinya.

"Itu lah sebabnya Majlis Syura menyerah balik kepada jawatankuasa PAS pusat untuk membuat keputusan mengenai kedudukan anggota Exco itu," katanya.

Majlis Syura Ulama PAS baru-baru ini sebulat suara mengambil keputusan menamatkan kerjasama politik dengan PKR secara serta-merta dan keputusan itu dibuat sebagai merujuk kepada tindakan PKR melanggar beberapa syarat kerjasama politik antara PAS dan PKR yang terjalin sejak sekian lama.

Sementara itu, Hashim juga tidak menolak kemungkinan untuk PAS menjalin tahaluf siyasi dengan UMNO pada masa akan datang.

Katanya, PAS sentiasa bersikap terbuka dalam rundingan namun meletakkan syarat kerjasama berkenaan kelak mesti dipimpin oleh Islam.

"Kita bersedia bertahaluf siyasi bukan sahaja dengan UMNO tetapi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk Parti Cinta Malaysia (PCM) yang telah menunjukkan minat," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X