Ahad, 14 Mei 2017 | 11:43am

Ubah stigma belajar hanya untuk lulus

KUALA LUMPUR: Sebagai ejen pelaksana perubahan, guru perlu berusaha mengubah stigma murid dan masyarakat bahawa fokus pembelajaran dan pengajaran bukan semata-mata untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan.


DATUK Seri Mahdzir Khalid. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata jika dulu, kecemerlangan hanya berorientasikan peperiksaan, kini penilaian terhadap murid bersifat holistik dengan terlaksananya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

"Kini pendidikan bukan terbatas kepada aspek akademik saja, sebaliknya dinilai dengan lebih menyeluruh merangkumi kognitif, efektif dan psikomotor secara berterusan seperti terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya dalam perutusan Hari Guru 2017 yang dipetik dalam laman sesawang Kementerian Pendidikan menerusi http://www.moe.gov.my, hari ini.

Sambutan Hari Guru 2017 Peringkat Kebangsaan bertema 'Guru Pembina Negara Bangsa' akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, Selasa ini, manakala Festival Hari Guru 2017 berlangsung di Padang A, Angsana Mall, sejak kelmarin hingga Selasa ini.

Mahdzir berkata, pelaksanaan PBS yang bertujuan untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi perlu difahami dan dihayati oleh setiap guru.

"Pada hakikatnya, guru yang berjiwa besar dan dinamik sudah tentu bersedia untuk memberikan ruang dan peluang kepada setiap muridnya meningkatkan pencapaian secara berterusan.

"Dengan cara ini, potensi sebenar murid dapat dikembangkan ke tahap optimum agar tercetus idea bernas dengan lebih baik," katanya.

Berita Harian X