Ahad, 14 Mei 2017 | 9:21am

22 penjenayah berbahaya lari dari penjara


PENJARA Marco Aurelio Soto. - Foto Reuters

TEGUCIGALPA: Kira-kira 22 penjenayah paling berbahaya melarikan diri dari sebuah penjara paling sesak di Honduras, minggu ini sebelum sempat dipindahkan ke penjara kawalan keselamatan lebih ketat, kata pegawai, semalam.

Ketua Institut Penjara Nasional Honduras, Rosa Gudiel berkata, ahli ahli kumpulan ganas 'Barrio 8' itu dikurung dalam unit khas 'Scorpion' di penjara Marco Aurelio Soto.

Bagaimanapun, katanya, mereka melarikan diri daripada penjara dengan tahap kawalan keselamatan sederhana itu.

Berikutan itu, pengarah dan beberapa warden penjara itu diarahkan untuk mengambil cuti, manakala pihak berkuasa berusaha mengesan banduan terbabit.

Gudiel berkata, ia adalah kes banduan melarikan diri yang terbesar sejak sedekad di Honduras yang mempunyai rekod jenayah amat tinggi.

"Banduan itu melarikan diri kerana enggan dipindahkan ke penjara baharu yang mempunyai tahap kawalan keselamatan tinggi," kata Gudiel dalam satu sidang media. - Reuters

24 dibaca
Berita Harian X