Sabtu, 13 Mei 2017 | 12:08pm

Bahas penuh bertanggungjawab dan beradab: Sultan Selangor


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah di Majlis Perasmian Persidangan Speaker- Speaker Parlimen Dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2017 di Concorde Hotel Shah Alam. - Foto NSTP/Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan wakil rakyat untuk berbahas dengan penuh bertanggungjawab dan beradab.

Titah Baginda, setiap wakil rakyat yang membahaskan usul atau melahirkan sesuatu pandangan perlu melakukannya dengan berhemah dan mematuhi Peraturan Tetap Dewan.

Sehubungan itu, Baginda bertitah, seorang speaker Dewan perlu mengawal keadaan pada saat dan ketika apabila berlakunya pertelingkahan dalam kalangan Ahli Dewan selain wakil rakyat perlu memahami segala peraturan Dewan dengan mendalam agar keputusan atau arahan speaker tidak dipertikaikan mana-mana pihak.

"Beta tidak mahu berlakunya kejadian Ahli Yang Berhormat bercakaran di dalam Dewan dengan melemparkan bahasa kesat dan menyakitkan hati tanpa mengawal emosi.


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan bertitah di Majlis Perasmian Persidangan Speaker- Speaker Parlimen Dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2017 di Concorde Hotel Shah Alam. Turut hadir Yang DiPertua Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia (dua kanan), Yang DiPertua Dewan Negara Senator Datuk Seri SA Vigneswaran (kanan), Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga kiri) dan Speaker Dewan Negeri Selangor Hannah Yeoh (kiri). - Foto NSTP/Roslin Mat Tahir

"Adab dan tatasusila dalam berbahas ini amat penting bagi menggambarkan bahawa negara kita mempunyai pemimpin negara yang matang dan berperibadi tinggi.

"Kita perlu menunjukkan kepada rakyat dan dunia bahawa kita mampu untuk berbahas dan berbincang mengenai soal rakyat dan negara secara berhemah dan matang," titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Negeri seluruh Malaysia bagi tahun 2017 di Hotel Concorde Shah Alam, pagi ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri SA Vigneswaran; dan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh.

Sultan Sharafuddin Idris Shah juga berkenan agar tempoh satu-satu persidangan dipanjangkan bagi memastikan masalah dan suara rakyat didengari serta dibincangkan untuk mendapat penyelesaian.

Baginda bertitah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sejak 2008 hingga kini memperuntukkan tempoh dua minggu untuk setiap kali persidangan bagi memastikan masalah rakyat mendapat perhatian Kerajaan Negeri.

"Beta ingin menyarankan agar setiap Dewan dapat mengurangkan mesyuarat Dewan yang melangkaui masa berehat iaitu selepas jam 12 tengah malam kerana Beta yakin bahawa kecergasan minda semua pihak termasuklah urus setia Dewan dan pelapor tidak berapa di paras yang optimum ketika ini," titah Baginda.

Berita Harian X