Sabtu, 13 Mei 2017 | 7:18am

3 kanak-kanak maut kebakaran di Texas


Pihak berkuasa menyiasat tempat kejadian kebakaran yang mengorbankan tiga kanak-kanak di barat daya Montgomery County. - Foto AP

CONROE: Tiga kanak-kanak yang terperangkap di tingkat dua sebuah rumah terbakar di Texas maut walaupun polis berusaha menyelamatkan mereka.

Pihak berkuasa berkata, insiden itu berlaku berhampiran Houston dan enam ahli keluarga terbabit cedera termasuk tiga dalam keadaan serius.

Sherif Montgomery, Leftenan Scott Spencer berkata, kanak-kanak yang maut berusia di antara enam dan 13 tahun dan mayat mereka ditemui di celah sisa runtuhan rumah itu.

Kebakaran itu turut merebak ke beberapa bangunan bersebelahan sehingga memusnahkan sebuah rumah lain, kata Spencer.

Katanya, kira-kira 10 orang menetap di rumah itu termasuk seorang wanita dan abangnya dengan anak masing-masing serta ibu bapa mereka.

Ketua bomba Montgomery, Jimmy Williams berkata, dua polis dari Shenandoah yang pertama tiba dan membantu beberapa ahli keluarga mereka menyelamatkan diri.

Namun williams berkata, suhu panas dan api menghalang mereka daripada menaiki tangga dalam rumah itu.

"Mereka cuba naik ke tingkat dua, tetapi gagal mencapai kanak-kanak terbabit," katanya sambil menambah dua anggota polis itu dimasukkan ke hospital akibat terhidu asap dan kecederaan lain. - AP

Berita Harian X