Sabtu, 13 Mei 2017 | 6:00am

Kedaulatan watan berpaksi ajaran Islam

Dua unsur utama watan iaitu Perlembagaan Tanah Melayu dan undang-undang watan (law of the land) dari sudut legitimasi semakin menarik perhatian ramai untuk dibincangkan. Dua aspek di atas adalah ciri penting untuk menjelaskan konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu yang dijunjung oleh tanah air kita.

Dalam pada itu, rencana ini mengemukakan petikan dalam buku Adat Raja-Raja Melayu, yang disalin oleh Panuti H M Sudjiman (1983) mengenai 'daulat', iaitu kata dasar bagi istilah kedaulatan. Petikan berkaitan adalah:

"Kalakian maka adalah raja itu telah dikurniakan Allah Taala dilebihkan daulatnya, yakni tuahnya. Maka adalah yang bernama tuah itu banyak namanya: apakala ia duduk kepada menteri, bertuah namanya; jika ia duduk kepada orang kebanyakan, beruntung namanya. Demikian lagi pada barang di mana tempat yang didudukkannya oleh tuah itu, kesemuanya menjadi baik semata-mata jua adanya. Istimewa pula jika duduk tuah itu kepada raja kerajaan, maka dinamai akan dia berdaulat.

"Maka tatkala itu segala manusia pun kasih sayang dan takut akan dia. Maka mereka itupun menurutlah sebarang perkataannya, dan memuji-mujilah atas segala kelakuannya dan relalah segala mereka itu menerima atas segala hukumannya. Demikianlah kelebihan bagi raja-raja itu, dari kerana ia diberi Allah ta'ala berdiri daulatnya. Tambahan pula, jika Raja itu baik budi pekertinya dan sifat adil (nya) barang yang dihukumkannya, jadilah bertambah-tambah kasih dan takut segala isi negerinya."

Frasa di atas menunjukkan daulat dalam kerangka pemikiran tradisional Melayu itu juga berkisar dalam ruang lingkup kekuasaan agung atau kekuasaan tertinggi, ketaatan pada pemerintah dan keadilan dalam pemerintahan. Daripada pentakrifan dan teori Barat yang dikemukakan, kerangka kedaulatan itu terbahagi kepada dua aspek paling utama; pertama, konsep kedaulatan dan kedua, prinsip kedaulatan.

Konsep kedaulatan

Konsep kedaulatan terdiri daripada dua aspek, iaitu sumber kedaulatan yang menjelaskan pemilik kedaulatan atau kekuasaan agung yang mengurniakan kuasa kedaulatan, dan ciri-ciri kedaulatan yang menjelaskan bentuk dan sifat pada kedaulatan itu. Bentuk kedaulatan itu hadir dalam dua bentuk: Pertama, kedaulatan bersifat mutlak. Kedua, kedaulatan bersifat pengamanahan. Sifat kedaulatan itu pula diwarnai oleh ideologi, fahaman atau doktrin yang bersekutu dengan bentuk sesuatu kedaulatan itu.

Prinsip kedaulatan pula merangkumi prinsip atau dasar perundangan dan sistem politik sebuah kerajaan. Sumber dan ciri-ciri kedaulatan itu adalah kerangka pemikiran legitimat yang menentukan dasar perundangan dan sistem politik sesebuah negara (prinsip kedaulatan).

Kedaulatan undang-undang

Pada konsep kedaulatan terkandung konsep kesetiaan dan ketaatan mutlak kepada undang-undang yang digubal. Atas sifat sedemikian, menurut Arieff Salleh Rosman dan Yahaya Jusoh (2015), sesuatu undang-undang itu dijunjung dan diberi taat setia setiap rakyat. Ia juga dinamakan 'kedaulatan undang-undang' yang menjadi asas kepada 'tataurus tadbir baik'.

Sarjana Barat, antaranya Stockwell (1979) menyatakan: "Secara tradisinya, oleh yang demikian, Sultan Melayu dianggap sebagai sumber kuasa semua undang-undang dan kerajaan dan ketua agama; baginda mempertahankan adat dan struktur masyarakat Melayu. Orang lain mungkin melaksanakan kuasanya, menjalankan tugas atau memimpinnya dengan polisinya tetapi kelulusan untuk semua tindakan berwibawa terletak dalam kedaulatan Raja-Raja Melayu."

Untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai konsep sebenar kedaulatan Raja-Raja Melayu selain dari sudut ciri-ciri Perlembagaan Tanah Melayu dan Undang-Undang Watan Tanah Melayu seperti yang sudah dikemukakan, aspek pegangan dan pemikiran tempatan semasa adalah nilai pemutus.

Sedia maklum, Raja-Raja Melayu adalah penganut ajaran Islam yang pastinya terikat dengan syariat Islam. Di samping itu, pemikiran tempatan semasa mengenai konsep kedaulatan amat penting kerana itu melambangkan bukti penerimaan dan pegangan yang tidak boleh dipertikai. Salah satu contohnya adalah wasiat Sultan Mansor Shah kepada anakanda baginda Raja Husin:

"Ketahuilah olehmu wahai anakku, bahawa yang dunia ini tiada kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan mati juga sudahnya. Iman yang sempurna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal, disebut orang selama-lamanya. Adapun peninggalanku ini, hai anakku, hendaklah engkau berbuat sabar serta adil sangat-sangat, dan jangan tamakkan harta orang, kerana makan hak sama Islam itu terlalulah besar dosanya, tiada diampun Allah Subhanahu Wata'ala, melainkan dengan izin tuannya. Dan janganlah lagi khali engkau keluar dihadap orang, kerana segala hamba Allah banyak terserah kepadamu.

"Jikalau kesukaran baginya, hendaklah engkau tolong; jikalau teraniaya ia, hendaklah engkau memeriksa baik-baik, supaya di akhirat tiada diberatkan Allah atas lehermu, kerana sabda Nabi Salla Allahu Alaihi Wassaallam; 'kullukum rain wa kullukum masuulun ala raiyatihi,' yakni segala kamu yang membela lagi ditanyai daripada kebelaan kamu; ertinya segala Raja-Raja di akhirat lagi ditanya Allah Taala daripada segala rakyat.

Konsep kedaulatan Raja-Raja Melayu yang digambarkan di atas adalah berpaksikan premis ajaran Islam. Ia bukan sahaja terpancar daripada wasiat raja-raja, malah diakui Sarjana Barat seperti Wheeler (1928). Beliau mengatakan, "dalam Islam... Sultan adalah maharaja dan pope. Dilihat dari sudut duniawi baginda adalah sultan; dari sudut spiritual pula baginda adalah seorang khalifah.

Rumusannya, kenyataan di atas dengan jelas menunjukkan konsep kedaulatan watan adalah bercirikan doktrin pengamanahan kedaulatan, iaitu kedudukan seorang Raja Melayu sebagai pemegang amanah kedaulatan milik mutlak Allah SWT.

Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah

Berita Harian X