Sabtu, 13 Mei 2017 | 12:38am

Lelaki maut, BMW rempuh pikap


KEADAAN kereta BMW dan pikap selepas bertembung di Kilometer 22.5 Jalan Melawi - Kuala Besut, dekat Lagun Kuala Semerak, Tok Bali, Pasir Puteh, petang tadi. Pemandu BMW maut dalam nahas itu. - Foto ihsan Bomba, Polis

PASIR PUTEH: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 22.5 Jalan Melawi - Kuala Besut, dekat Lagun Kuala Semerak, Tok Bali, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.15 petang, mangsa Mohd Jeffre Ibrahim, 27, dari Kampung Cawat, Besut, Terengganu cedera parah di beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Anis, di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Mohamad, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah kereta BMW 328i yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah pikap yang dipandu seorang lelaki bersama dua penumpang lelaki.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa datang dari arah Kuala Besut memotong sebuah lori sebelum memasuki laluan pikap dari arah bertentangan.

"Kedua-dua kenderaan berpusing sebelum Triton tersangkut pada penghadang jalan sebelah kiri jalan arah ke Kuala Besut.

"Akibat pertembungan itu, mangsa cedera parah dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Abdul Rozak berkata, pemandu pikap, Teh Kun Hua, 30, dari Asahan, Melaka dan dua penumpangnya, Lim Kim Poh, 31, dari Batu Pahat, Johor dan Tanveer Ahmad, 34, seorang warga Pakistan, tidak cedera.

Berita Harian X