Jumaat, 12 Mei 2017 | 9:44pm

Heung-min dinobat pemain terbaik kali kedua

SON Heung-min dinobatkan pemain terbaik bulanan Liga Perdana Inggeris (EPL). - Foto AP

LONDON: Bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min memenangi anugerah pemain terbaik bulanan Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menjadi pemain tunggal memenanginya dua kali musim ini.

Pemain tengah Korea Selatan itu dinobatkan pemain terbaik selepas meledak enam gol pada April yang membantu kelab di tangga kedua, Tottenham mencapai sasaran untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik dalam tempoh 54 tahun.

Heung-min menjadi pemain Asia pertama memenangi anugerah bulanan itu apabila memenanginya pada September menerusi undian pakar, kapten pasukan dan peminat.

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, dinamakan pengurus terbaik bulanan.

Tottenham masih memiliki tiga perlawanan pada musim ini dengan pertembungan menarik menentang Manchester United, Ahad ini adalah aksi terakhir kelab dari London itu di White Hart Lane.

"Saya akan terus bekerja dengan keras," kata Heung-min. "Sasaran saya untuk terus menjaringkan gol."

Dia sudah menjaringkan 19 gol pada musim ini dalam semua kejohanan.

Satu lagi gol akan menjadikannya pemain Korea Selatan paling banyak menyumbat jaringan di pentas Eropah dalam semusim mengatasi bekas pemain Bayer Leverkusen, Cha Bum-kun yang beraksi pada musim 1985-86. - AP

Berita Harian X