Jumaat, 12 Mei 2017 | 12:53pm

Cerai dengan PKR beri nafas baharu politik Melayu-Islam

ALOR SETAR: Tindakan berani PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR adalah langkah politik matang yang memberi nafas baharu kepada agenda politik Melayu dan Islamdi negara ini.


DATUK Shaiful Hazizy Zainol Abidin. - Foto Sharul Hafiz Zam

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata selain menghormati pandangan dan kehendak akar umbi, keputusan dibuat Majlis Syura Ulama itu penting demi membersihkan imej PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu.

"Umum mengetahui PAS sebelum ini terpaksa mengorbankan prinsip dan pendekatan demi memelihara hubungan sesama pakatan pembangkang bagi menumbangkan UMNO serta Barisan Nasional (BN)...ia nyata memberi kesan tidak baik kepada PAS yang terpaksa menanggung liabiliti liberal DAP dan moral beberapa pemimpin PKR.

"Tindakan menamatkan tahaluf siyasi bersama PKR ini perlu dianggap sebagai langkah politik yang besar untuk tidak membelakangkan prinsip dan pegangan perjuangan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shaiful Hazizy pada masa sama menggesa PAS bertindak menyingkirkan unsur sabotaj atau gunting dalam lipatan membabitkan beberapa pemimpinnya supaya parti itu tidak terus menerus dirosakkan dari dalam.

"Pemuda UMNO Kedah yakin unsur 'harum manis' di dalam PAS perlu disingkirkan secara menyeluruh untuk memastikan PAS terus relevan dan kekal sebagai pilihan untuk rakyat Melayu dan Islam," katanya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Kedah secara dasarnya masih menganggap PAS lawan yang patut dihormati dan disegani, namun menyarankan agar dialog ummah dapat teruskan dijalankan membabitkan UMNO dan PAS.

"Walaupun tidak berada di dalam satu pasukan, keterbukaan dan jiwa besar UMNO perlu disambut. Polemik agama dan bangsa perlu diselesaikan dengan segera dan UMNO tidak boleh bersifat 'silo' dalam hal ini.

"Usaha UMNO perlu mendapat kerjasama dan persetujuan daripada pihak lain khasnya daripada PAS. Cara berpolitik untuk masa akan datang perlu berubah, keutamaan isu atau maslahah ummah perlu dijadikan ukuran utama," katanya.

Berita Harian X