Khamis, 11 Mei 2017 | 9:44pm

Piala TNB: SSBJ Thunderbolt tetap hormat SSMS Resilient


- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pengendali SSBJ Thunderbolt, Lokman Yahya memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak terus dibuai rekod pertemuan lalu menjelang aksi suku akhir Piala TNB menentang Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) Resilient, esok.

Dalam saingan Piala Thunderbolts - pertandingan membabitkan empat sekolah angkat di bawah seliaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tahun lalu menyaksikan SSBJ Thunderbolts mudah meratah lawannya itu 7-1.

Jelas Lokman, biarpun di atas kertas kelebihan lebih memihak ke atas skuad kendaliannya yang menamatkan saingan Divisyen 1 musim ini di tempat ketiga, dia percaya segala-galanya berkemungkinan pada peringkat kalah mati.

"Buat masa ini, kami terlebih dulu menyasarkan untuk melepasi peringkat suku akhir, kami tidak mahu terlalu yakin kerana ia boleh membawa padah.

"Di atas kertas, memang kami mempunyai lebih motivasi untuk menang kerana pernah mengatasi SSMS Resilient 7-1 dalam saingan Piala Thunderbolts tahun lalu, tetapi ia tidak membawa sebarang makna untuk aksi esok," katanya.

Sebagai rekod, ia buat kali kedua berturut-turut semua empat pasukan di bawah pelan pembangunan TNB layak ke suku akhir saingan Piala TNB.

Empat pasukan terbabit adalah SSTMI Thunderbolt, SSBJ Thunderbolt, AHP-MSP Thunderbolt dan Anderson Thunderbolt yang bakal membuat perhitungan di peringkat kalah mati esok.

Sementara itu, SSTMI Thunderbolts pula tetap optimis mengulangi pencapaian tahun lalu - mara ke final apabila turun berdepan SMKBDBL Johor Juniors dalam satu lagi aksi suku akhir di Stadium Hoki SSTMI, esok.

Bagaimanapun tegas jurulatihnya, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman masih ada perkara yang perlu diperbaiki anak didiknya, terutama dari segi sentuhan penyudah yang dilihat sedikit berkarat pada penghujung saingan Divisyen 1 tempoh hari.

Jadual Suku akhir Piala TNB (esok)

MBPJ Tigers mln Anderson Thunderbolt

(Stadium Hoki MBPJ)

AHP-MSP Thunderbolt mln SSTMI Juniors

(Stadium Hoki Wisma Belia Kuantan)

SSTMI Thunderbolt mln SMKBDBL Johor Juniors

(Stadium Hoki SSTMI)

BJSS Thunderbolt mln SSMS Resilient

(Stadium Hoki Pandamaran)

*Semua perlawanan berlangsung jam 5.00 petang

Berita Harian X