Khamis, 11 Mei 2017 | 6:17pm
AJK PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (dari kiri), Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Penerangan Pusat PAS, Nasarudin Hasan mengadakan sidang media selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS di Ibupejabat PAS. - Foto NSTP/Rosela Ismail

PAS-PKR 'bercerai'


AJK PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (dari kiri), Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Penerangan Pusat PAS, Nasarudin Hasan mengadakan sidang media selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS di Ibupejabat PAS. - Foto NSTP/Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengumumkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi bersama PKR terputus serta-merta.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, berkata keputusan itu diambil pucuk pimpinan parti selepas mendapati PKR melakukan banyak pelanggaran syarat tahaluf siyasi berdasarkan pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Katanya, ia termasuk langkah PKR menentang sebahagian daripada agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS seperti usul meminda Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 (Akta 355) atau RUU 355.

"PKRmelanggar adab bekerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej parti Islam itu.

"PKR juga khianat dalam hubungan politik dengan PAS apabila bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS di Ibu Pejabat parti itu di Jalan Raja Laut di sini, petang ini.

Mesyuarat dua jam dipengerusikan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan turut dihadiri Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengenai tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Selangor, Nik Muhammad Zawawi berkata, ia diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk terhadap kepentingan Islam dan rakyat.

Berita Harian X