Khamis, 11 Mei 2017 | 12:16pm

Shiera 'jual' suara


KUALA LUMPUR 13 APRIL 2017. Pelakon Sharifah Shahirah pada pembukaan kaunter baharu jenama Les Nereides Paris, di Pavilion KL. NSTP/MAHZIR MAT ISA[FOTO MAHZIR MAT ISA /BH]

KUALA LUMPUR: Pengalaman lebih 24 tahun di arena seni membuatkan Sharifah Shahirah, 42, enggan berpeluk tubuh menanti tawaran sebaliknya mencari alternatif lain sebagai sumber rezeki.

Biar beberapa tahun kebelakangan ini dilihat jarang berlakon, bakat ibu kepada lima cahaya mata itu bukan hanya dialihkan kepada bidang pengacaraan atau komersil malah suaranya juga disumbangkan untuk iklan.

"Sebagai isteri dan ibu, saya berasa bertuah undangan kerja untuk saya dalam bidang ini tidak pernah putus kerana saya anggap semua ini adalah rezeki anak.

"Dari segi lakonan, saya tidak nafikan ada kalanya bakat kami diukur dengan harga yang rendah. Saya sudah biasa terkena begitu juga suami (Ijoy) dan kakak saya, Sharifah Haslinda pun melalui perkara sama.

"Daripada berterusan atau menunggu saja tawaran, lebih baik saya 'jual' saya sebagai pengacara dan menjadi latar untuk jingle atau iklan terutama menerusi radio.

"Alhamdulillah. Saya percaya rezeki itu ada di mana-mana. Tidak guna mengeluh dan andai tertutup satu pintu rezeki, kita cari pintu lain. Insya-Allah akan ada rezeki lain," katanya yang beberapa kali mengendalikan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).

Pada edisi ke-30 ABPBH yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad ini, Sharifah Shahirah yang mesra disapa Shiera itu bakal naik ke sebagai penyampai trofi.

Sementara itu, akuinya beliau melalui fasa bahagia menunaikan tanggungjawab sebagai ibu kepada Allisya yang juga cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu serta, Airell, Airra, Auddra dan Adeena iaitu anak dengan suaminya kini.

Tambah Shiera, kehadiran puteri bongsu Adeena yang baharu mencecah usia enam bulan seakan memberikan isyarat kepadanya supaya tidak hamil lagi.

"Cukuplah dengan lima anak. Anak sulung saya pun sudah berusia 20 tahun. Tiada apa lagi yang saya harap, melainkan keindahan ini berpanjangan.

"Tak sangka saya diberi kesempatan terindah, berpeluang mengandung lagi pada usia awal 40-an. Semuanya kuasa Tuhan," kata bintang serba boleh itu lagi.

Berita Harian X