Jumaat, 9 Januari 2015 | 4:31pm

IPP Malaysia naik 4.7 peratus pada November 2014

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 4.7 peratus pada November 2014 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan.

"Peningkatan itu disumbang oleh pertumbuhan positif dalam semua indeks pembuatan, perlombongan dan elektrik.

"Dalam terma pelarasan musim, IPP November 2014 naik sebanyak 1.5 peratus bulan ke bulan berikutan kenaikan dalam semua indeks: pembuatan (1.3 peratus), perlombongan (2.3 peratus) dan elektrik (1.8 peratus)," kata jabatan itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, IPP pada Oktober 2014, telah disemak semula kepada 5.1 peratus tahun ke tahun.

Jabatan itu berkata bagi asas tahunan, pengeluaran pembuatan meningkat sebanyak 3.7 peratus pada November 2014 susulan kenaikan 3.2 peratus pada Oktober tahun lalu.

"Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan pada November 2014 ialah produk elektrik dan elektronik (10.2 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.8 peratus); dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2.7 peratus)," kata jabatan itu.

Dalam sektor perlombongan, pengeluaran meningkat sebanyak 7.6 peratus pada November 2014 berbanding bulan yang sama pada 2013 berikutan kenaikan indeks minyak mentah (13.9 peratus) dan indeks gas asli (0.9 peratus).

Pengeluaran sektor elektrik mencatat kenaikan 3.2 peratus tahun ke tahun bagi bulan itu.

Bagi tempoh Januari hingga November 2014, IPP Malaysia meningkat 4.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2013, disumbang daripada kenaikan dalam semua indeks pembuatan (5.9 peratus), perlombongan (2.2 peratus) dan elektrik (4.8 peratus). - BERNAMA

Berita Harian X