Rabu, 10 Mei 2017 | 5:06pm

Hubungan PAS-PKR dimuktamad esok


TIMBALAN Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob. - Foto Sharul Hafiz Zam

KOTA BHARU: Kedudukan tahaluf siyasi PAS dengan PKR akan ditentukan pada mesyuarat Majlis Syura Ulama (MSU) di ibu negara, esok.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob, berkata ia susulan usul yang diluluskan pada Muktamar Tahunan Pas ke-63 di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Beliau yang akan menghadiri mesyuarat berkenaan berkata, MSU akan membincangkan usul hubungan politik dengan PKR sebelum keputusan dimuktamadkan.

"Apa-apa keputusan akan diketahui selepas perbincangan pada mesyuarat terbabit," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Wakaf Raudhatul Barakah, Pondok Beta Hilir, di sini, hari ini.

Pada 30 April lalu, Muktamar PAS Ke-63 meluluskan usul supaya parti itu bertanding di kerusi PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Muktamar juga senada dengan Dewan Pemuda PAS dan Dewan Ulama PAS apabila turut meluluskan usul supaya tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan.

Usul dikemukakan perwakilan daripada PAS Kawasan Kota Raja dan Kuala Terengganu, diluluskan tanpa bahas bersama tujuh lagi usul lain.

Berita Harian X