Rabu, 10 Mei 2017 | 10:30am

Sanggup tipu nama untuk lepaskan diri

ANGGOTA penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan seorang lelaki selepas gagal menunjukkan kad pengenalan pada Ops Bersepadu ID JPN di Sungai Udang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Cemas diperiksa dan disoal siasat oleh penguatkuasa mendesak seorang lelaki berusia 34 tahun memetik pelbagai nama sebagai langkah melepaskan diri dari ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Tangga Batu, awal pagi tadi.

Dalam Ops ID bermula jam 11 malam hingga 4 pagi itu, lelaki terbabit mendakwa berasal dari Sabah memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad berusia lingkungan 20-an, namun terpinga-pinga apabila ditanya nama bapa dan ibunya.

Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman, berkata ketika pemeriksaan dijalankan lelaki terbabit menunjukkan sijil kelahiran namun gagal memberikan nama tepat bapa dan ibunya sebelum pihaknya bertindak menggeledah rumah diduduki.

"Kita terpaksa menggeledah rumah selama kira-kira sejam untuk memeriksa dokumen lain selepas lelaki terbabit gagal menunjukkan MyKad.

"Apabila ditanya dia hanya mendakwa dirinya dari Sabah, tidak memiliki MyKad dan datang ke Semenanjung melalui agen.

"Sijil kelahirannya juga dalam keadaan meragukan hingga dia menyebut beberapa nama merujuk kepada bapa dan ibunya malah mendakwa dirinya bujang sebelum kita menemui gambar wanita serta kanak-kanak," katanya.

Dalam operasi terbabit, JPN turut menahan satu sijil kelahiran daripada seorang lelaki berusia 49 tahun beranak enam yang disyaki menggunakan maklumat pengenalan palsu ibu kepada anaknya yang disyaki milik individu lain berasal dari Sabah.

"Kita juga mendapati dia menggunakan MyKad milik wanita lain merujuk sebagai ibu kepada anak-anaknya yang berusia 10 tahun hingga dua tahun dan kita meminta lelaki itu merujuk ke JPN atas urusan pendaftaran empat lagi anaknya," katanya lagi.

Sementara itu, dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), seorang lelaki dan dua perempuan warga Filipina berusia 42 hingga 45 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sebelum dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X