Selasa, 9 Mei 2017 | 11:18pm

PKNS FC ikat Kedah


PEMAIN PKNS, Patrick Ronaldinho diasak Khairul Helmy dalam perebutan bola tinggi ketika perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

SHAH ALAM: Kedah melepaskan peluang keemasan untuk merampas kedudukan kedua Liga Super daripada Pahang selepas terikat 4-4 dengan PKNS FC dalam perlawanan penuh dramatik di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Keputusan itu turut menyaksikan skuad Helang Merah kekal di kedudukan ketiga dan berkongsi 21 mata dengan Pahang yang tewas 2-3 di gelanggang sendiri kepada Kelantan, Sabtu lalu.

Pada perlawanan tadi, Kedah tidak menunggu lama untuk berada di depan menerusi jaringan Ken Ilso Larsen seawal minit kelima.

Permainan semakin rancak selepas PKNS menyamakan kedudukan hasil jaringan Patrick Ronaldinho tujuh minit kemudian yang tenang memperdaya penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim sebelum menolak masuk bola ke gawang.

Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan empat minit apabila Syafiq Ahmad menyudahkan hantaran Muhammad Syazwan Tajudin untuk gol kedua Helang Merah.

Syafiq sekali lagi membuktikan ketajaman penyudahnya apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru Sandro Da Silva pada minit ke-22 untuk Helang Merah selesa mendahului 3-1 di babak pertama.

Kedudukan itu berubah lagi hanya 11 minit selepas bersambung babak kedua apabila PKNS merapatkan jurang hasil jaringan Matias Nicolas Hadwa yang merembat masuk bola hantaran Lucas Sebastian.

Sebastian turut cemerlang menyamakan kedudukan buat PKNS pada minit ke-89 selepas rembatan derasnya gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Farhan Abu Bakar.

Namun, keceriaan itu tidak bertahan lama apabila Sandro Da Silva kembali meletakkan Kedah di depan dengan menyudahkan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Ketika kemenangan Kedah sudah terbayang, PKNS pula dihadiahkan sepakan penalti pada penghujung permainan dan Hadwa menyempurnakan sepakan untuk memastikan satu mata buat PKNS.

Berita Harian X