Selasa, 9 Mei 2017 | 8:29pm

TRX City beri kontrak trafik RM327.9 juta kepada Gadang CRFG

KUALA LUMPUR: TRX City Sdn Bhd, pemaju induk Tun Razak Exchange (TRX) memberikan kontrak penyebaran dan penambahbaikan trafik utama bernilai RM327.9 juta kepada Gadang CRFG Consortium Sdn Bhd.

Kontrak itu adalah sebahagian daripada usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kerajaan Persekutuan bagi menambah baik trafik di Jalan Tun Razak dan kawasan sekitarnya, yang bertujuan mengurangkan muatan trafik di Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak sehingga 27 peratus.

Kontrak dua tahun yang diberikan kepada Gadang CRFG - usaha sama antara Gadang Engineering (M) Sdn Bhd dan CRFG Malaysia Bhd - akan merangkumi kerja tanah, kerja asas, struktur jalan konkrit bawah tanah yang diperkukuh serta kerja berkaitan jalan akses ke dan dari pembangunan TRX, kata TRX City dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, TRX akan menikmati akses terus dan lancar ke tiga lebuh raya, iaitu terowong SMART, Maju Expressway (MEX) dan Duta-Ulu Klang Expressway-3, dan meningkatkan kesambungan daerah kewangan antarabangsa terbabit.

"Lebuh raya dan akses jalan tambahan ke TRX ini, bersama dengan stesen persimpangan bawah tanah MRT akan menghubungkan pusat bandar sedia ada dan Greater KL," kata Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib.

Pemberian kontrak ini dibuat berikutan proses tender yang dipantau syarikat audit bebas. Prakelayakan kontraktor terbabit bermula pada Mei 2016 dan tender dikeluarkan pada Ogos 2016.

Setakat ini, TRX telah memberi kontrak kepada kumpulan hartanah dan infrastruktur global, Lendlease bagi membangunkan Lifestyle Quarter; pemaju hartanah terkemuka Indonesia, Mulia Group bagi membangunkan plot Signature Tower; Affin Bank Bhd untuk menara pejabat; Lembaga Tabung Haji bagi plot kediaman dan peneraju pengurusan air global, Veolia Water Technologies South East Asia untuk konsesi rawatan dan kitar semula air. - BERNAMA

Berita Harian X