Isnin, 8 Mei 2017 | 9:53pm

Nelayan jatuh sungai ditemui lemas

SARIKEI:  Seorang nelayan yang dilaporkan jatuh dari botnya di Kampung Paloh, Belawai, di sini, tengah hari tadi ditemui lemas, petang ini.

Mayat Khairul Asrie Mustafa, 32, ditemui penduduk kampung pada jam 4.20 petang, kira-kira 600 meter dari lokasi dia terjatuh.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.06 petang tadi.

Beliau berkata, empat anggota bersama sebuah bot kevler dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mayat mangsa kemudiannya ditemui orang awam dan bomba menggunakan bot untuk mengambilnya untuk dibawa balik ke jeti Kampung Paloh.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis pada jam 7.34 malam ini untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya ia adalah mayat mangsa lemas kedua ditemui hari ini selepas mayat mangsa di Kampung Paloh, Kabong dalam Bahagian Betong, ditemui pagi tadi.

Berita Harian X