Jumaat, 9 Januari 2015 | 8:00am

Bangunlah, berjuanglah pahlawanku

Chant atau laungan lagu patriotik oleh penyokong Ultras Malaya sebagai pemain ke-12 mampu membakar semangat skuad Harimau Malaya yang berjuang di tengah padang, sekali gus menerbitkan rasa gerun kepada pasukan lawan.

Justeru, lagu ringkas seperti Berjuanglah Pahlawanku, Blues Sehati Sejiwa, Kau Kebanggaanku, Bangunlah, Mana Kamu dan Selamanya Harimau Malaya terus bersilih ganti dilaungkan sekumpulan penyokong Ultras Malaya di satu sudut tempat duduk di stadium dinamakan curva.

Capo Ultras Malaya, Lekir Ahmad, yang mengetuai chant, berkata lirik lagu yang dicipta bersama itu ringkas saja tetapi padat kata-kata semangat serta pergerakan tertentu dengan menggunakan mafla dan diiringi paluan gendang.

Katanya, chant juga dilakukan ketika penyokong menyertai corteo (perarakan masuk ke stadium) bagi menunjukkan kehadiran Ultras Malaya pada setiap kali perlawanan membabitkan Harimau Malaya, sekali gus menghadirkan rasa gerun kepada pasukan lawan.

Digelar orang gila

"Di dalam stadium, komrad atau ahli kumpulan juga menggerakkan tifo (kain rentang) dan Jalur Gemilang saiz gergasi secara bersama mengikut rentak yang sudah dirancang ketika lagu Negaraku berkumandang.

"Saya sebenarnya telah diamanahkan untuk menjadi Capo secara spontan kerana dalam gerakan ini masing-masing ada kelebihan. Ada yang pandai dalam grafik, bermain dram dan ada yang gagah perkasa dari segi fizikal serta suara untuk menjadi krew curva. Adunan ini membantu memantapkan gerakan ini," katanya dalam satu pertemuan dengan BH.

Mengimbas kembali pembabitannya dalam Ultras Malaya, Lekir berkata, dia sebelum ini selalu ke stadium secara bersendirian pada setiap kali perlawanan persahabatan dan memerhatikan sekumpulan kecil anak muda yang begitu setia memberikan sokongan kepada pasukan.

Katanya, akhirnya dia memberanikan diri untuk mendekati kumpulan itu yang diasaskan oleh Freddie Ben Arifin sebelum bersatu dan sejak itu dia tidak lagi keseorangan kerana hubungan terjalin erat bagaikan sudah lama bersaudara.

"Pertama kali bersama kumpulan ini, saya telah ke hadapan dan seolah-olah mengetuai gerakan ini hinggakan ada yang menggelar saya orang gila dan melawan taukeh tetapi itu sifat saya, saya datang, saya lihat dan saya tawan," katanya yang juga lulusan Diploma Senibina, Universiti Teknologi Mara.

Berita Harian X