Isnin, 8 Mei 2017 | 6:01pm

Setem khas sempena jubli emas BERNAMA


Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh (kanan) bersama Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab menunjukkan setem korporat khas Bernama yang dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan agensi berita itu di Wisma Bernama hari ini.
Sebanyak 10,000 setem akan dicetak dengan harga 60 sen setiap satu dan setem itu boleh didapati di Wisma Bernama.
- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) meraikan ulang tahun jubli emas sempena penubuhannya sebagai agensi berita nasional sejak lima dekad lalu dengan mengeluarkan setem korporat khas, hari ini.

Pelancaran setem berkenaan dirasmikan Pengerusinya, Datuk Seri Azman Ujang di Wisma BERNAMA.

Setem yang dijual pada harga 60 sen sekeping, hanya boleh didapati di Wisma BERNAMA, di Jalan Tun Razak, di sini.

Azman berkata, kemuncak sambutan jubli emas itu adalah jamuan makan malam bagi meraikan rakan media serta penyampaian beberapa anugerah sebagai tanda penghargaan oleh agensi itu.

Sementara itu, Pengurus Besar BERNAMA, Datuk Zulkefli Salleh, berkata agensi itu kini sedang menyesuaikan diri dengan pembaharuan teknologi pengamal media sosial berikutan media tradisional yang semakin tenggelam.

"Netizen ada kalanya tidak memahami etika kewartawanan dan melaporkan berita yang salah.

"Sikap yang tidak telus dan menyebarkan mesej palsu seperti itu sebaliknya mendorong BERNAMA menjadi penyedia maklumat yang lebih berkredibiliti dan dipercayai," katanya.

Selain majlis makan malam, beberapa program diatur bagi menjayakan sambutan jubli emas itu, antaranya pertandingan menulis dan deklamasi puisi, cabaran boling, Jelajah 1Jiwa dan Kembara All Ladies Treasure Hunt Kuala Lumpur-Pekan kepada semua kakitangan BERNAMA.

Berita Harian X