Khamis, 8 Januari 2015 | 10:23pm

Lelaki ditemui mati di perkuburan Jalan Kuari

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan di perkuburan Kristian, Jalan Kuari, di sini, pagi tadi.

Mayat lelaki yang belum dikenal pasti itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan perut terburai serta beberapa tetakan pada bahagian kepala, tapak tangan, leher, rusuk serta dagu.

Sumber memberitahu, mayat mangsa yang dipercayai berusia 25 tahun ditemui orang awam sekitar jam 11.45 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan terdapat kesan luka pada leher dan dagu akibat tetakan senjata tajam. Ketika ditemui mangsa berpakaian lengkap.

"Pemeriksaan forensik ke atas simati pula mendapati terdapat kesan empat tetakan pada bahagian kepala selain leher, dagu, tapak tangan kanan, rusuk kanan turut ditetak. Malah belakang badan mangsa turut terdapat kesan tikaman," katanya ketika dihubungi BH.

Katanya, pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian pula tidak menjumpai sebarang senjata tajam.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital berdekatan untuk dibedah siasat," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Gafar, mengesahkan penemuan mayat berkenaan.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui motif sebenar lelaki berkenaan dibunuh," katanya.

22 dibaca
Berita Harian X