Isnin, 8 Mei 2017 | 1:10pm

Jenazah isteri bekas jurugambar HM selamat dikebumikan

DATUK Muhammed Ibrahim menyiram air mawar di pusara isterinya, Datin Umi Kellesom Md Salleh di tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Kuala Lumpur. - Foto Asyraf Hamzah

PETALING JAYA: Jenazah isteri bekas jurugambar Harian Metro, Datuk Muhammed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat Metro, dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara Kuala Lumpur disini, kira-kira jam 11:45 pagi tadi.

Datin Umi Kellesom Md Salleh, 61, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 8.10 malam tadi akibat kanser usus.

Terdahulu, jenazah dimandikan dan dikafankan di rumah ibunya di Seksyen 17A Petaling Jaya sebelum dibawa ke Masjid Ar Rahmah, Seksyen 17 A untuk disembahyangkan.

Antara yang menziarahi jenazah ialah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad.

Muhammed berkata, isterinya dimasukkan ke PPUM hampir sebulan lalu selepas mengadu sakit perut.

"Allahyarham menjalani pemeriksaan dan seminggu selepas itu disahkan menghidap kanser usus peringkat keempat.

"Kami sekeluarga sudah membuat persediaan untuk membawanya pulang ke rumah di Kajang pagi ini tetapi isteri saya menghembuskan nafas terakhir 10 malam tadi," katanya ketika ditemui, hari ini.

Allahyarham meninggalkan lima anak dan tujuh cucu.

Berita Harian X