Isnin, 8 Mei 2017 | 1:00pm

Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah akan dilaksana

ISKANDAR PUTERI: Penguatkuasaan undang-undang terhadap Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 yang diwartakan pada 16 Mac lalu akan bermula 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata satu Pekeliling Am Kerajaan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2017 berkenaan enakmen serta penggunaan jata kerajaan negeri sudah dikeluarkan, berkuat kuasa 2 Mei lalu.


DATUK Ayub Rahmat. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Mengambil kira kesedaran orang awam berhubung enakmen itu, katanya, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi 60 hari sebagai tempoh bertenang bermula daripada penguatkuasaan pekeliling itu.

"Ini bagi memberi peluang orang awam mengambil maklum dan sedia mematuhi peruntukan undang-undang dalam enakmen itu sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di luar sidang Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-13 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Enakmen itu diluluskan DUN Johor yang bersidang pada 9 Mac lalu, dalam usaha memartabatkan institusi DiRaja dan membanteras kegiatan penyalahgunaan Lambang, Gelaran dan Anugerah.

Ayub berkata, enakmen itu memperuntukkan undang-undang lebih ketat terhadap individu yang menyalahgunakan lambang, gelaran dan anugerah dikurniakan oleh Sultan Johor kecuali dengan kebenaran bertulis Tuanku.

Katanya, ia termasuk menggunakan lambang, gelaran dan anugerah atau replika untuk tujuan perdagangan, pekerjaan atau persendirian.

"Sesiapa yang disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun," katanya.

Ayub berkata, enakmen itu turut membabitkan kesalahan yang memperuntukkan denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

"Ini membabitkan kesalahan menggunakan gelaran atau anugerah yang ditarik balik, penggunaan anugerah bukan hak, menghadiri majlis penganugerahan tidak diiktiraf, membuat lambang atau tanda kebesaran tidak diiktiraf, membuat peralatan untuk membuat lambang tidak diiktiraf serta memiliki peralatan membuat lambang tidak diiktiraf," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X