Isnin, 8 Mei 2017 | 6:29am

3 impak daripada muktamar PAS

MUKTAMAR Agung PAS di Kedah minggu lalu menjadi tumpuan ramai, terutama mereka yang mengikuti perkembangan politik negara. Bukan sahaja ahli dan penyokong PAS, ahli PAN, DAP, PKR dan UMNO serta komponen Barisan Nasional (BN) juga mengikutinya. Dari Perlis sampai ke Sabah menunggu keputusan daripada muktamar itu, terutama Amanat Haji Hadi, yakni Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang. Apa tidaknya, ia ada sig-nifikan dan memberi kesan besar kepada landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang hampir pasti diadakan tahun ini. Berikut tiga impak daripada keputusan muktamar PAS:

1. Ramai penyokong pembangkang frust. Seramai 5.6 juta pengundi yang memilih Pakatan Rakyat pada PRU-13 kecewa kerana keputusan muktamar mengesahkan bahawa PAS tidak lagi bersama pembangkang. Walaupun Hadi tidak menyatakan PAS akan memberi sokongan kepada UMNO, kenyataannya menolak sebarang langkah menyertai kerajaan sosialis bersama DAP serta PKR dan PBPM, mengecewakan mereka. Ketika itu jumlah undi yang diperoleh pembangkang adalah 5,623,984 berbanding 5,273,699 oleh BN. Undi popular pembangkang meningkat 4.12 peratus, manakala BN merosot, 2.89 peratus. Pada PRU-14 nanti undi pembangkang dijangka berpecah dua. Ini yang merunsingkan pemimpin dan penyokong pembangkang.

2. Pembangkang sukar bersatu. Ramai menyatakan keputusan PAS memutuskan kerjasama dengan PKR memberi kelebihan kepada UMNO/BN. Memang benar, jika keputusan itu kekal, pertandingan tiga penjuru dijangka berlaku, yakni antara BN, PAS dan Pakatan Harapan. Itu pun jika Pakatan Harapan dapat menjalin kerjasama tulen tanpa sabotaj sesama sendiri.

3. PAS-PAN kini seteru besar. Mereka pernah duduk semeja berkongsi tikar dan bantal ketika dalam PAS. Kini umpama anjing dengan kucing mereka bergaduh. Dalam sosial media masing-masing berhujah sehingga ke tahap kutuk mengutuk. Perpecahan pemimpin menjalar sehingga ke akar umbi yang dilihat tiada ubatnya. Ikrar 'jahanam PAN' di Kedah sukar diterima oleh penyokong PAN kerana mereka sebelum ini pernah sama-sama 'mengkafirkan UMNO'. Sehubungan itu, selepas muktamar ini, musuh pembangkang pada PRU-14 bukan sahaja Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, malah menjadi dua, yakni Haji Hadi. Justeru, impian kononnya mahu menumbangkan BN pada PRU-14 masih samar-samar dan mungkin terus tinggal impian.

Berita Harian X