Ahad, 7 Mei 2017 | 6:27pm

Operasi SAR kesan laskar TLDM ditamatkan


TLDM hari ini menamatkan operasi mencari dan menyelamat seorang anggota KD Perantau yang disyaki jatuh laut di perairan Bintulu pada 17 April lalu. - Foto fail ihsan TLDM

KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota Kapal Diraja (KD) Perantau yang disyaki jatuh laut di perairan Bintulu pada 17 April lalu.

TLDM, dalam kenyataan di sini, sebentar tadi, menyatakan operasi SAR yang masuk hari ke-21 pada hari ini ditamatkan pada jam 4.30 petang tadi.

"Kawasan pencarian yang sudah dikecilkan sehingga 8, 375 batu nautika persegi masih menemui jalan buntu dan tidak menampakkan sebarang penemuan positif.

"TLDM memutuskan untuk menamatkan operasi ini, selepas genap 21 hari sejak diaktifkan pada 17 April lalu. Penamatan operasi ini diisytiharkan setelah mengambil kira pelbagai faktor termasuk ketiadaan tanda-tanda penemuan mangsa.

"TLDM bagaimanapun akan meneruskan pencarian secara asas peluang oleh aset yang terbabit dalam rondaan OP WIRA yang melalui kawasan berkenaan dan tidak akan berputus asa selagi ada harapan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku," katanya.

Pada masa sama, TLDM memohon kerjasama kapal, bot nelayan dan rakan maritim lain yang melalui kawasan kejadian untuk memerhati dan melaporkan jika ada sebarang penemuan.

Katanya, TLDM juga memohon bantuan orang ramai untuk sentiasa berdoa semoga mangsa dijumpai sama ada masih hidup atau tidak.

Selain TLDM, operasi pencarian turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dalam kejadian pada kira-kira jam 9 pagi, 17 April lalu, Laskar Kelas II Komunikasi Amirul Bahari Ismail, 22, disedari hilang selepas tidak hadir ke perbarisan wajib KD Perantau ketika berada di perairan Bintulu, Sarawak.

Amirul Bahari, dari FELDA Keratong 5, Pahang, bertugas dalam TLDM sejak dua tahun lalu.

Mangsa kali terakhir dilihat berada di bilik rehat pada jam 7.15 pagi ketika kapal itu dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar, di sini.

76 dibaca
Berita Harian X