Ahad, 7 Mei 2017 | 3:11pm

Koperasi kredit perlu pelbagaikan sumber pendapatan


DATUK Abdul Fattah Abdullah. -Foto Nurul Shafina Jemenon

KLANG: Koperasi kredit di negara ini disaran menceburi bidang perniagaan baharu yang berimpak tinggi seperti hartanah, perkhidmatan kesihatan dan teknologi maklumat agar dapat bertahan lama dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata sektor kredit yang menyumbang sebanyak 80 peratus daripada RM39.6 bilion perolehan koperasi pada tahun lepas, dilihat tidak lagi mampu berkembang berikutan isu peningkatan kos sara diri selain saingan daripada institusi kewangan lain.

"Untuk koperasi kredit ini terus menjana pendapatan, ia perlu menceburi sektor lain yang berimpak tinggi dan Angkasa bersedia untuk menyalurkan bantuan seperti khidmat nasihat, dana dan kepakaran jika diperlukan.

"Saya percaya pendapatan koperasi kredit ini akan terus meningkat jika menceburi sektor yang lain kerana telah mempunyai anggota dan pengikut yang ramai yang yakin dengan produk koperasi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad di sini, semalam.

Katanya mengambil contoh sektor hartanah, koperasi berkenaan bukan hanya membina rumah, malah menyediakan kemudahan pinjaman kepada anggota yang berminat membeli.

"Ini sekali gus bukan hanya dapat meningkatkan pendapatan koperasi tetapi turut memberi peluang kepada anggota koperasi yang mahu memiliki rumah. ".... dan hasil pendapatan koperasi ini kelak juga akan disalur kembali kepada anggota koperasi melalui dividen yang mereka terima setiap tahun," katanya.

Abdul Fattah berkata, dari segi pasaran beliau yakin sebarang usaha untuk meningkatkan pendapatan koperasi akan mendapat sokongan penuh dari kira-kira tujuh juta anggota koperasi seluruh negara. - BERNAMA

Berita Harian X