
KUALA LUMPUR: Pengerusi, barisan ahli lembaga pengarah, pengurusan kanan serta kakitangan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan unitnya, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Sabri Ahmad.
Sabri, 68, yang juga Bekas Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV, meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 5.30 pagi tadi, di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya.
"Kematian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada syarikat serta industri minyak sawit tempatan.
"Allahyarham berperanan penting dalam dua kejayaan Kumpulan FELDA iaitu penyenaraian MSM Malaysia Holdings Bhd dan FGV," kata Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, dalam satu kenyataan, hari ini.
Sepanjang tempoh perkhidmatan Sabri, kata Mohd Isa, Allahyarham komited dalam usaha transformasi yang diperlukan FGV.
Malah, impian Allahyarham adalah menjadikan FGV syarikat yang cemerlang.
"Sudah pasti, impian Allahyarham akan menjadi inspirasi kami untuk mengemudi FGV ke tahap kecemerlangan sebagaimana diimpikannya," katanya.
Sabri berkhidmat sebagai Presiden Kumpulan FGV dan CEO mulai Januari 2010 hingga Julai 2013.
Selain FGV, Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai CEO Golden Hope Plantations Bhd (sebelum ini dikenali Harrison Malaysian Plantations Bhd) pada Januari 2004 hingga November 2007. - BERNAMA