Sabtu, 6 Mei 2017 | 6:05pm
PASUKAN Gabungan Sekolah-Sekolah Selangor dan pasukan Sekolah Sukan Singapura memasuki padang sebelum perlawanan pada Piala Sultan Selangor di Stadium Nasional, Singapura. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Raja Muda Selangor hadir saksikan perlawanan pembukaan


RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin Idris Shah diperkenalkan dengan pemain pasukan Gabungan Sekolah-Sekolah Selangor sebelum perlawanan menentang pasukan Sekolah Sukan Singapura pada Piala Sultan Selangor di Stadium Nasional, Singapura . - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

SINGAPURA: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan hadir menyaksikan perlawanan pembukaan membabitkan pasukan bawah 16 tahun Selangor dan Singapura di Stadium Nasional di sini, sebentar tadi.

Tengku Amir tiba kira-kira jam 4.30 petang sebelum bersalaman bersama pemain Pasukan Gabungan Sekolah Selangor yang menentang Sekolah Sukan Singapura yang terdiri daripada remaja bawah 16 tahun.

Perlawanan dijangka berlangsung selama 25 minit bagi setiap separuh masa dan dijangka tamat pada jam 5.45 petang ini.

Saingan kedua-dua pasukan ini juga bagi merebut Piala Cabaran Sekolah-sekolah Singapura-Selangor yang buat julung kalinya diperkenalkan pada edisi ke-16 penganjuran Piala Sultan Selangor tahun ini.

Tengku Amir juga akan menyampaikan Piala Cabaran Sekolah-sekolah Singapura-Selangor kepada pasukan pemenang sebentar lagi.

Sementara itu, suasana di Stadium Nasional Singapura semakin meriah dengan penyokong daripada Selangor dan republik itu mula memenuhi tempat duduk bagi menyaksikan dua lagi perlawanan tumpuan.

Perlawanan itu membabitkan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura yang dijadualkan berlangsung pada jam 6 petang ini.

Manakala, perlawanan utama Pilihan Selangor iaitu Persatuan Kelab Bola Sepak PKNS FC menentang Singapura dijangka akan bermula pada jam 7.45 malam ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka berangkat tiba di Stadium Nasional Singapura pada jam 6.30 petang diiringi Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, S Iswaran.

Berita Harian X