Sabtu, 6 Mei 2017 | 1:47pm

Remaja cari lokan lemas


MANGSA ditemui lemas di Lagun Kuala Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, petang semalam. - Foto ihsan Bomba

PASIR PUTEH: "Petang semalam, Aiman begitu ceria ketika memberitahu mahu ke lagun bersama kawan untuk mencari lokan, namun beberapa jam selepas itu, kami dimaklumkan Aiman lemas".

Demikian luahan Mohd Asri Mustafa, 42, iaitu bapa kepada Mohd Amirul Aiman, 16, yang ditemui lemas di Lagun Kuala Semerak, Tok Bali, jam 7.21 petang semalam.

Mohd Amirul Aiman ditemui lemas di dasar lagun itu selepas terperangkap di kawasan pusaran air ketika mencari lokan bersama beberapa rakannya.

Mohd Asri berkata, dia hanya mengetahui maklumat Mohd Amirul Aiman lemas selepas diberitahu seorang rakan anaknya yang bersama ke kawasan lagun berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, keluarga tetap reda serta menganggap keputusan dia membenarkan anak kedua daripada lima beradik itu mencari lokan sebagai ketentuan dan suratan takdir.

"Kami reda dengan pemergian arwah dan ia mungkin takdirnya pergi dahulu meninggalkan kami.

"Sebelum ni, kami tidak menyedari apa-apa petanda lain, cuma agak pelik kenapa saya membenarkan dia ke sana sedangkan dia tak pandai berenang dan tak pernah mandi di lagun itu," katanya ketika dihubungi.


KERJA mencari dan menyelamat dijalankan di Lagun Kuala Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, petang semalam. - Foto ihsan Bomba

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, bilik gerakan bomba menerima panggilan kecemasan jam 6.18 petang dan bergegas ke lokasi kejadian bersama tujuh anggota bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Pasukan penyelamat mengguna tali dan jaket keselamatan untuk menjejaki mangsa sehingga menemukan mayat mangsa terdampar di dasar sungai berkenaan pada pukul 7.21 petang.

"Mangsa pada awalnya diberi bantuan kecemasan pasukan paramedik, namun disahkan meninggal dunia. Pegawai operasi SAR, Pegawai Bomba Kanan 1, Abdullah Yaacob kemudiannya menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azhar Elmi berkata, lokasi berkenaan kini masih lagi menjadi tumpuan ramai mencari pelbagai spesis lokan dan kerang walaupun zon maut di lagun itu ditutup serta papan larangan dipasangkan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) bagi mengelak kejadian lemas.

Berita Harian X